Faisal terkejut nama disenaraikan - Utusan Malaysia

Faisal terkejut nama disenaraikan

FAISAL HALIM - Foto ihsan X fnasrom/Astro Arena
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyerang Selangor FC, Faisal Halim mengakui terkejut selepas mendapat tahu dirinya disenaraikan sebagai pemain simpanan bagi menghadapi Terengganu FC dalam aksi kedua separuh akhir Piala FA.

Kehadiran Faisal di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya semalam menceriakan 10,000 penyokong yang hadir dan dia dilihat melakukan sujud syukur sebelum memasuki padang bagi melakukan sesi pemanas badan dengan memakai topeng berwarna hitam bagi melindungi wajahnya.

Walaupun disenaraikan sebagai pemain simpanan Faisal tidak turun beraksi namun kehadirannya memberi suntikan semangat kepada rakan sepasukan untuk mencipta kemenangan 4-1 sekali gus layak ke final dengan agregat 6-4.

“Saya pun terkejut juga, semalam (Jumaat) baru dapat tahu tetapi apa yang saya boleh buat saya bantu dengan (memberikan) semangat.

“Alhamdulillah, tahniah kepada rakan-rakan saya dan semua rakyat Selangor. Kemenangan malam ini untuk anda semua. 

“Apa yang saya boleh katakan, saya membawa semangat apa yang saya mampu walaupun saya tak mampu bermain secara cergas,” katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan semalam.

Faisal mendapat liputan meluas apabila pemain berusia 26 tahun itu disimbah asid sehingga mengalami kecederaan lecur tahap empat pada Mei lalu.

Dia melakukan beberapa pembedahan dan menjalani proses pemulihan serta keadaannya dipantau rapi bagi memastikan dirinya pulih.

“Sudah tentu (rindu untuk beraksi). Hampir tiga bulan dan lagi beberapa hari (genap) tiga bulan saya direhatkan. Kecederaan ini menimpa saya dan saya amat sedih.

“Kembalinya saya di stadium ini sebagai satu semangat baru untuk diri saya. Saya sudah berlatih dengan pasukan, harap dapat perkembangan lebih cepat untuk bersama pasukan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN