LONDON: Chelsea menawarkan Raheem Sterling kepada Aston Villa selepas Enzo Maresca menjelaskan pemain sayap England itu tidak diperlukan di Stamford Bridge.
Pemain yang dibeli dengan 47.5 juta pound (RM272 juta) antara 15 pemain Chelsea yang kini untuk dijual dan telah diarahkan berlatih berasingan daripada skuad utama The Blues.
Sterling ingin kekal beraksi di Liga Perdana Inggeris (EPL) ditawarkan kepada skuad kendalian Unai Emery yang boleh menawarkan peluang kepada pemain itu untuk beraksi di pentas Liga Juara-Juara musim ini.
Dia sebelum ini telah menolak tawaran untuk ke kelab Arab Saudi dan Juventus turut berminat mendapatkan Sterling dengan menukar Federico Chiesa namun pemain tersebut tidak sesuai dengan Chelsea.
Sterling mendakwa dia mahukan penjelasan daripada kelab selepas dia disingkirkan daripada skuad utama ketika menentang Manchester City dalam aksi pembukaan EPL.
Bekas pemain sayap Liverpool itu menerima bayaran termahal di Stamford Bridge dengan nilai 300,000 pound (RM1.7 juta) seminggu sementara gaji purata untuk kontrak yang lebih panjang dan berinsentif kini hanya 60,000 pound (RM344,000).
“Saya tidak kata Raheem bukan pemain yang bagus namun saya lebih suka pemain sayap yang berbeza. Itulah sebabnya.
“Saya bercakap dengan Raheem, secara bersemuka sebelum menentang City dan saya menjelaskan kepadanya situasi sebenar. Saya tidak nampak Raheem selepas perlawanan.
“Pada waktu ini, mereka (Sterling dan Ben Chilwell) berlatih berasingan. Situasi mereka berdua jelas dan tiada maklumat terbaharu mengenai mereka.
“Jika saya duduk dengan Raheem, saya akan beritahunya sama seperti saya katakan sebelum ini. Saya tidak ada perkara baru untuk beritahu kepadanya kerana saya telah cukup jelas,” kata Maresca. AGENSI










