'Bukan mandul hanya susah hamil’

‘Bukan mandul hanya susah hamil’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pahit getir yang pernah dilalui dua wanita jelita ini untuk mendakap zuriat sewajarnya dijadikan inspirasi kepada semua wanita yang sedang berusaha untuk mengandung dan melahirkan anak.

Wanita mana yang tidak sedih apabila sering dipersalahkan gara-gara tidak mengandung apatah lagi jika dilemparkan dengan kata-kata seperti mandul dan sebagainya.

Namun semua itu menjadi pembakar semangat untuk mereka terus berusaha mengandung biarpun terpaksa melalui prosedur persenyawaan luar rahim (IVF) dan permanian berhadas (IUI) berkali-kali.

Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bertitah, baginda dan Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin, sama-sama melalui dan merasai kesusahan serta kesedihan apabila rawatan kesuburan tidak menjadi.

“Patah hati apabila membuat satu rawatan untuk hamil tapi tidak menjadi. Maknanya Allah saja yang tahu, balik menangis. Tidak lepas juga orang bertanya bila hendak mengandung, senak dada untuk menjawab.

“Apa yang Siti lalui untuk mendapatkan anak, sama seperti saya. Saya menanti selama sembilan tahun setengah, Siti 11 tahun. Bila tengok orang mengandung, rasa sedih. Siti buat lima kali IVF dan IUI. Saya 17 kali buat IVF, IUI dan sebagainya baru dapat cahaya mata,” titah baginda.

Tunku Azizah bertitah demikian pada sidang media sempena perasmian pembukaan Pusat Kesuburan Alhaya di Hospital Pakar KPJ Damansara 2, baru-baru ini.

Turut hadir, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin; Pengarah Urusan Alpha IVF Group Berhad, Datuk Dr. Colin Lee dan Pengarah Perubatan Pusat Kesuburan Alhaya, Dr. Haris Hamzah.

Baginda menasihatkan setiap pasangan supaya segera menjalani pemeriksaan kesuburan selepas dua tahun berkahwin dan masih tidak mengandung.

Ini kerana semakin berusia, tahap kesuburan juga semakin menurun.

Pemeriksaan membolehkan punca kesukaran hamil dikesan seperti salur endimetrium tersumbat.

“Tidak payah malu kerana sekarang sudah ada kemajuan dalam rawatan kesuburan yang canggih dan semuanya ada di depan mata. Ia berbeza dengan kaedah dulu. Tidak boleh bayangkan masa saya buat 30 tahun dulu.

“Allah kata ikhtiar. Kalau betul-betul hendak anak, kita cuba buat dan berdoa juga. Saya masih ingat nasihat Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, dia bagi saya ayat satu hingga 16 surah Maryam untuk diamalkan selain buat solat hajat. Tapi saya tidak ingat ayat mana, saya baca satu surah tiap-tiap hari. Itulah yang membawa berkat,” katanya.

Pernah putus asa
Tunku Azizah bertitah, menjalani rawatan kesuburan adalah satu perjuangan bagi semua wanita.

Bagaimanapun, baginda mengakui pernah berputus asa apabila rawatan dan prosedur dijalani sering menemui kegagalan.

“Kalau dulu saya menjalani rawatan kesuburan sampai ke luar negara seperti Singapura, England dan Amerika Syarikat. Di Kuala Lumpur masa itu hanya ada GIFT (pemindahan ovum dan sperma). Selepas itu baru ada IVF.

“Kalau 100 orang pergi, 15 atau 20 orang sahaja berjaya hamil. Tapi risiko keguguran masih ada. Daripada 15 orang itu, mungkin hanya 10 saja yang bawa balik bayi. Saya cakap, kalau jadi-jadilah saya dah putus asa. Alhamdulillah, Allah makbulkan akhirnya saya dapatlah anak bujang saya sekarang ini iaitu Tengku Hassanal,” titahnya.

Berbeza dengan dahulu, teknologi hari ini lebih canggih. Pakar akan memeriksa dahulu telur dan membekukannya. Kemudian lapisan endometrium dalam rahim akan diletak ubat supaya sihat dan subur.

Titahnya, anakandanya, Tengku Arif Bendahara, Tengku Muhammad, diambil daripada sperma yang paling laju sebelum dicucuk terus ke dalam telur. Itulah sebabnya puteranya itu sentiasa ‘laju’.

Manakala Tengku Panglima Perang, Leftenan Tengku Ahmad Ismail dan Tengku Puteri Afzan pula terhasil daripada embrio beku lebihan daripada proses IVF untuk mendapatkan Tengku Hasanal pada tahun 1995 dan 1997.

“Saya gembira dan bersyukur kerana dikurniakan putera dan puteri yang baik-baik. Begitu juga apabila Datuk Siti dikurniakan anak lelaki dan perempuan. Itupun saya ‘hogah’ dia. Saya minta Siti pergi buat rawatan dan jangan putus asa,” titahnya.

Apabila Siti memaklumkan beliau mengandung, Tunku Azizah menasihatkannya supaya duduk diam dan jangan bergerak.

“Inilah nasib dua selebriti, bukan mandul. Susah sahaja. Allah menguji kita berdua,” titahnya sambil ketawa memandang Siti.

Utamakan kesihatan reproduksi
Wanita tidak boleh memandang ringan soal kesihatan reproduksi atau sistem peranakan.

Siti Nurhaliza berkata, sebaliknya selepas dua tahun mendirikan rumah tangga, mereka perlu memikirkan apa masalah sebenar yang menghalang kehamilan.

“Mungkin ada yang kata nak enjoy dulu tapi bagaimanapun, kenalah periksa dahulu kesihatan kita. Kita tidak tahu apa masalahnya. Kalau hendak merawat pun nanti mungkin ambil masa juga untuk hamil,” katanya.

Selain itu, suami dan keluarga terdekat juga perlu memberikan sokongan kepada wanita atau isteri bagi menggalakkannya menjalani pemeriksaan kesihatan.

Siti Nurhaliza berkata, senyuman dua cahaya matanya, Siti Aafiyah dan Muhammad Afwa hari ini, adalah harapannya ketika awal mendirikan rumah tangga bersama suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa.

“Syukur Alhamdulillah, saya ditakdirkan untuk berjumpa dengan Dr. Colin Lee yang membantu untuk menjalankan rawatan IVF di Alpha IVF KL.

“InsyaAllah, rezeki itu sudah diatur oleh Allah SWT, tidak akan salah alamat, tidak akan kurang dan lebihnya. Tugas kita hanya perlu berikhtiar menjemputnya dan bersyukur atas segala nikmat dari-Nya,” katanya.

 

Bantu pasangan lain
Keperitan dilalui demi memiliki zuriat sendiri, membuka hati kedua wanita hebat ini untuk membantu wanita lain tidak kira bangsa dan agama dalam mencapai impian mereka untuk hamil.

Bagi Tunku Azizah, ramai yang menyedari peranan yang dimainkan oleh Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF) dalam membantu pasangan memiliki cahaya mata masing-masing dan sehingga kini, terdapat kira-kira 142 bayi dilahirkan menerusi bantuan TAFF.

“Ia sentiasa menjadi aspirasi dan komitmen saya untuk membantu pasangan yang bergelut untuk mendapatkan zuriat. Melalui TAFF, saya ingin memberi balik apa yang Allah SWT kurniakan kepada saya dan Datuk Siti.

“Walaupun kos rawatan kesuburan turut meningkat, TAFF akan menampung kos bagi mereka yang layak. Bagaimanapun, kos rawatan juga berbeza antara setiap individu kerana ada sesetengah wanita tidak memerlukan banyak ubat dan ada yang memerlukan pelbagai ubat-ubatan. Di TAFF, kalau memerlukan lebih rawatan atau prosedur, kami akan tanggung semua kos yang diperlukan.

“Kalau sebelum ini tangga gaji yang layak memohon adalah RM4,500 ke bawah tetapi kini dinaikkan kepada RM6,000 ke bawah, gabungan gaji suami isteri atau suami saja kalau isteri tidak bekerja,” titahnya.

Tunku Azizah bertitah, perjalanan keibubapaan dipenuhi dengan harapan, impian dan adakalanya sakit hati. Ia adalah jalan yang tidak boleh dilalui oleh sesiapa sahaja dan menjadi kewajipan untuk pihak tertentu menyediakan kemudahan.

“Pada masa ini terdapat teknik memeriksa embrio, sama ada normal atau sebaliknya melalui kelainan kromosom selain mengesan masalah sindrom down dan Beta atau Alpha Talasemia.

“Saya suka dengan teknologi ini sebab pasangan sudah bayar mahal-mahal, tentu mereka tidak mahu mengandung anak yang tidak sempurna. Bagaimanapun, keguguran itu adalah cara semulajadi untuk mengeluarkan bayi yang tidak normal.

“Sekurang-kurangnya dengan cara ini, kita tahu bayi sihat. Bukan hendak tengok jantina bayi lelaki atau perempuan, kita tidak tahu jantina. Apa yang kita hendak, mengandung bayi yang sihat,” titahnya.

Bagi Siti Nurhaliza segala kenangan pahit manis, suka-duka membuatkannya terus bersemangat membantu insan lain yang memerlukan dengan baru-baru ini menawarkan tajaan kepada 20 pasangan yang layak untuk mencuba IVF.

“Dorongan dan kata-kata semangat dalam menjalani program kesuburan seperti IVF sangat penting supaya wanita tidak mudah berputus asa. Apa yang penting perlu segera mendapatkan rawatan sewajarnya,” katanya.

Yayasan Nurjiwa menawarkan tajaan IVF untuk pasangan yang menginginkan cahaya mata. Ada lebih 1,000 permohonan sejak tawaran itu dibuka.

KUALA LUMPUR 27 Julai 2024 – Pengarah Urusan Kumpulan Alpha IVF, Datuk Dr. Colin Lee pada Majlis Perasmian Alhaya Fertility Centre, di Hospital Pakar KPJ Damansara 2, di sini hari ini. Foto: SHIDDIEQIIN ZON

Tingkat pelancongan kesihatan
Semua teknologi yang ada di dunia, terdapat di Malaysia. Malah daripada segi kadar kehamilan, kesuburan dan implantasi, tertinggi di negara ini.

Dr. Collin berkata, kadar kejayaan pusat kesuburan tempatan dikenali di seluruh dunia. Malah matawang negara yang lebih murah, menarik ramai menjalankan rawatan kesuburan di sini.

“Kadar kejayaan rawatan kesuburan kita adalah setara dengan tingkat antarabangsa dengan kejayaan setinggi 80 peratus. Berlaku peningkatan pendapatan daripada RM 2.1 juta kepada RM 79.5 juta dari tahun 2021 hingga 2024 dari pelancongan kesihatan ke Malaysia,” katanya.

Antara kunjungan ramai adalah dari China, Indonesia dan Singapura. Pendedahan media terhadap isu kesuburan turut memainkan peranan penting dalam memercikan kesedaran umum berhubung isu berkenaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN