'Bodysuit' batik didik masyarakat

‘Bodysuit’ batik didik masyarakat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RUZZGAHARA jenama batik premium tunggal mengambil bahagian dalam penganjuran Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW) baru-baru ini. 

Daripada kesemua 12 koleksi diperagakan di pentas gah itu, pandangan hadirin tertumpu kepada beberapa rekaan baju lapis dalam atau bodysuit batik. 

Mungkin ada yang tidak senang melihat busana berkenaan, seolah-olah menjatuhkan martabat produk kraf negara.

Namun, pengasas dan pengarah kreatifnya, Nik Faiz Nik Amin mempunyai alasan tersendiri dalam penghasilan koleksi unik bertemakan, Tradisi: Jelmaan Baharu itu.

Beliau mahu mendidik masyarakat agar dapat membezakan antara batik asli buatan tangan dan cetakan mesin yang dijual secara berleluasa di pasaran.

Dalam masa sama, inisiatif itu dapat membantu meletakkan batik Malaysia di kedudukan tinggi dan mempromosikan pemakaiannya.

“Ini bukan batik tetapi digandingkan bersama busana asli bagi menyedarkan masyarakat.

“Cukup-cukuplah membeli pakaian cetakan mesin dan saya juga minta peniaga agar tidak sewenang-wenangnya memperdaya pengguna dengan mendakwa produk tiruan sebagai batik ori,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini. 

Selain bodysuit, Nik Faiz turut menghasilkan busana haute couture seperti dress, blazer dan skirt yang eksklusif serta unik. 

Ia sekali gus membuktikan batik juga boleh diberikan sentuhan kontemporari bagi menonjolkan lagi keindahan rekaan. 

“Sebut sahaja batik, kita pasti membayangkan sutera dan kapas yang sinonim dengan pakaian tradisi.

“Oleh itu, saya cuba beri kelainan daripada segi karakter tekstil itu dengan menghasilkan rekaan seperti dress,” katanya yang mengambil masa empat bulan untuk menyiapkan koleksi itu. 

KETAM GURI 

Motif ketam guri sinonim sebagai identiti batik dari Kelantan. Ruzzgahara yang diasaskan di Kampung Penambang, Kota Bharu tidak terkecuali memanfaatkan tumbuhan tersebut dalam setiap koleksinya. 

Itu adalah satu-satunya motif yang digunakan Nik Faiz sejak 2010 lagi.

“Walaupun ketam guri turut digunakan pembatik lain tetapi orang mudah mengenali produk Ruzzgahara kerana hiasan kita yang minimal dan tidak ‘merosakkan’ teknik batik itu. 

“Untuk koleksi baharu ini saya mengekalkan emblem sama tetapi dengan sedikit pengubahsuaian bagi memberi nafas baharu,” katanya. 

Ruzzgahara terkenal dengan rekaan batik blok di samping turut menggunakan pewarna semulajadi dalam penghasilan seni kraf itu. 

Ia kekal mempertaruhkan rona alam semulajadi seperti hijau dan biru, berikutan tidak mahu terlalu ekstrem pada warna kerana mahu memfokuskan gaya dan rekaan. 

PENYERTAAN KALI KE-5 

Nama Nik Faiz dan Ruzzgahara sudah tidak asing dengan KLFW dengan edisi 2024 merupakan yang kelima disertainya. 

Antara semua koleksi di pentas itu, beliau paling berpuas hati dengan Tradisi: Jelmaan Baharu.

Lantaran beliau mempunyai masa panjang bereksperimen dan membuatnya. 

Antara tema Ruzzgahara sebelum ini ialah safari dan laut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN