PUTRAJAYA: Seorang bekas pengawal keselamatan terlepas hukuman mati selepas Mahkamah Persekutuan semalam menggantikannya dengan hukuman penjara 33 tahun kerana membunuh seorang kerani bank yang juga teman wanitanya dengan 76 tikaman, 13 tahun lalu.
Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Harmindar Singh Dhaliwal memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan semakan Muhammad Faizul Mohd. Ali, 32, untuk mengetepikan hukuman mati terhadapnya.
Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Hanipah Farikullah sebulat suara turut memerintahkan banduan akhir itu (pemohon) menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 30 Disember 2011 dan dikenakan 12 sebatan.
Koram berkenaan berpuas hati, kes itu bukan luar biasa dan mahkamah mengambil kira pemohon yang berusia muda (19 tahun) ketika kejadian berlaku.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz berhujah mangsa dibunuh dengan kejam kerana mengalami 76 kesan tikaman.
Sementara itu, peguam Tamara Anthony berhujah, laporan perubatan menunjukkan anak guamnya pernah mengalami skizofrenia dan ketagihan alkohol dan dadah sejak berusia 13 tahun.
Muhammad Faizul yang ketika itu berusia 19 tahun, disabitkan membunuh Rozana Mohd. Yusak, 36, di rumah sewa mangsa di premis B-01-15F Jalan Puncak Desa 2, Kepong, dekat sini antara pukul 12 tengah malam dan 1.15 pagi, 21 Disember 2011
Keterangan kes menunjukkan mangsa yang juga teman wanita Muhammad Faizul, ditikam berkali-kali dan mengalami kesan kecederaan dalaman serta luka selepas berlaku pergelutan ekoran tindakan lelaki itu mencuri komputer riba milik Rozana.
Mahkamah Persekutuan yang bersidang pada 29 Jun 2018 bagaimanapun membebaskan sahabat pemohon, Mohd. Zal Haziq Razali daripada tuduhan tersebut.
Keterangan kes menyatakan, pada malam itu, pemohon bersama Mohd. Zal Haziq ke rumah si mati dengan motosikal. Pemohon meminta rakannya menunggu dalam jarak yang agak jauh manakala dia naik ke tingkat satu. – UTUSAN










