Amsyar Anaqir, Jesmon Justi muncul Mr. Malaysia 2024

Amsyar Anaqir, Jesmon Justi muncul Mr. Malaysia 2024

JESMON Justi yang mewakili ATM muncul Juara Antara Juara bawah 70kg pada Kejohanan Bina Badan Peringkat Kebangsaan Ke-53@Mr. Malaysia 2024 di Hotel Thistle, Johor Bahru. - UTUSAN/ LUQMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Atlet Polis Diraja Malaysia (PDRM), Amsyar Anaqie Azahar tidak menyangka dinobatkan sebagai Juara Antara Juara atas 70 kilogram (kg) dalam Kejohanan Bina Badan Peringkat Kebangsaan Ke-53 iaitu Mr. Malaysia 2024.

Bagi Lans Koperal berusia 28 tahun itu, dia hanya menyasarkan kedudukan juara bagi kategori yang disertai, iaitu Heavyweight (lebih 90kg).

“Saya sudah menyertai kejohanan Mr. Malaysia ini banyak kali dan banyak kali juga saya muncul juara kategori yang disertai, namun belum pernah muncul Juara Antara Juara.

“Oleh itu, saya pun sasarkan gelaran tertinggi itu. Apabila nama diumumkan Juara Antara Juara bagi lebih 70kg, saya amat terkejut dan tidak menyangka sama sekali, saya anggap ini rezeki,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Anggota polis yang berkhidmat di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, Selangor itu menganggap segala penat lelahnya ‘membuat’ badan sejak April lalu membuahkan hasil.

AMSYAR ANAQIE Azahar yang mewakili PDRM muncul Juara Antara Juara atas 70kg pada Kejohanan Bina Badan Peringkat Kebangsaan Ke-53@Mr. Malaysia 2024 di Hotel Thistle, Johor Bahru. – UTUSAN/LUQMAN

Anak kelahiran Negeri Sembilan itu mendedikasikan kemenangan tersebut kepada keluarga, khusus kepada bapanya yang juga atlet bina badan.

“Saya sudah terjebak dengan sukan bina badan ini sejak 14 tahun lalu dengan mengambil inspirasi daripada bapa yang berkongsi minat sama.

“Bahkan, ayah juga akan menyertai Kejohanan Bina Badan Asia di Batam, Indonesia, minggu ini,” katanya.

Bagi kejohanan Mr. Malaysia kali ini, Juara Antara Juara bagi kategori bawah 70kg dimenangi Jesmon Justi daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Bagi kedudukan keseluruhan, ATM meriah tempat pertama dengan mengutip 125 mata, diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (82 mata) dan PDRM (68 mata). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN