Alih fokus kepada sukan lain, selain badminton - Rexy

Alih fokus kepada sukan lain, selain badminton – Rexy

REXY MAINAKY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sudah tiba masanya Malaysia mengalihkan fokus kepada sukan-sukan lain yang berpotensi menjelmakan pingat Olimpik, selain, badminton yang sehingga ke hari ini masih lagi menjadi sandaran utama bagi pemburuan pingat emas.

Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky berkata, gara-gara harapan yang diletakkan terlalu besar, anak-anak buahnya sering berasa tekanan yang cukup berat untuk digalas mereka.

“Mungkin pada masa depan jangan terlalu menjangkakan badminton yang akan sumbang pingat, sudah tiba masanya fokus diberi kepada sukan lain yang mampu bagi pingat contoh dalam acara renang, olahraga atau pun gimnastik.

“Sebagai contoh, Filipina mereka mendapat pingat emas daripada gimnastik, siapa tahu kan, kita hantar atlet-alet ini berlatih di luar negara dan beri pendedahan sewajarnya” kata Rexy pada sidang media post-mortem sukan badminton di ABM dekat sini, kelmarin.

Bekas juara dunia dan pemenang pingat emas Sukan Olimpik itu memberitahu, bukan mudah sebenarnya para pemain untuk memikul tanggungjawab tersebut dan beliau sendiri selaku jurulatih turut terasa bahang tersebut.

Jelas Rexy, kalau ditanya kepadanya sama ada beliau gembira pencapaian anak-anak buahnya, maka, jawapan yang diberi sudah tentu gembira kerana para pemain telah mempamerkan prestasi yang baik sepanjang Olimpik.

“Seperti Pearly Tan-M. Thinaah, walaupun tidak menang pingat, beregu China (Chen Qing Chen-Jia Yi Fan) memuji aksi beregu kita, mereka kata yang mereka bernasib baik menewaskan Pearly-Thinaah.

“Secara keseluruhan saya gembira dengan persembahan pemain-pemain saya, bantuan program Road To Gold (RTG) yang membawa rakan sepelatih untuk Pearly-Thinaah telah banyak membantu prestasi mereka di Olimpik,” tegasnya.

Beliau turut berterima kasih kepada Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria yang sentiasa bersedia membantu para pemain dan jurulatih jika ada sebarang masalah melanda.

“Tan Sri sentiasa membuka pintu pejabatnya untuk sesiapa yang mahu berjumpa bagi mendapatkan nasihat sama ada pada ketika kami sedih atau pun gembira,” ujarnya.

Sementara itu, Thinaah turut sependapat dengan Rexy dan menyifatkan sokongan yang diberi BAM dan juga program RTG telah menyelamatkan kemerosotan karier dia dan Pearly sehingga mampu melangkah sejauh separuh akhir pada Sukan Olimpik Paris.

“Kami ambil masa untuk bangkit berada pada tahap di mana kami hari ini, secara keseluruhan RTG sangat membantu dan terima kasih juga kepada Tan Sri yang sentiasa menyokong ketika kami terumbang-ambing dengan prestasi,” tambah Thinaah yang masih belum memutuskan untuk beraksi pada Terbuka Jepun, minggu depan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN