Yayasan Keluarga Malaysia anjur program larian 29 September  Yayasan Keluarga Malaysia anjur program larian 29 September  

Yayasan Keluarga Malaysia anjur program larian 29 September  

ISMAIL Sabri Yaakob ( dua dari kiri ) bersama bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin (pertama dari kiri) dalam sidang akhbar program Larian Keluarga Malaysia (LKM) 2024 di Menara Aras Raya di sini hari ini. -SADDAM YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) yang ditubuhkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bakal menganjurkan program Larian Keluarga Malaysia (LKM) 2024 di Persiaran Flora, Cyberjaya, pada 29 September ini.

Ismail Sabri merangkap Pengerusi YKM berkata, program itu bertujuan mengumpul dana bagi memastikan anak-anak yatim dan yatim piatu yang kehilangan ibu bapa atau penjaga akibat pandemik Covid-19 terus mendapat pembelaan.  

Beliau berkata, pihak yayasan memilih bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin sebagai Duta LKM 2024 bertepatan dengan penglibatannya yang aktif dalam sukan larian dan maraton. 

Katanya, audio siar (podcast) Keluar Sekejap diterajui bekas Menteri Kesihatan itu dan bekas Ketua Penerangan UMNO yang digantung parti, Shahril Sufian Hamdan akan menjadi saluran audio siar rasmi bagi program itu nanti. 

“Beliau (Khairy) juga memahami denyut nadi anak-anak yatim dan yatim piatu ini kerana terlibat secara langsung dalam kerajaan untuk menyelamatkan nyawa dan memastikan kehidupan rakyat dapat diteruskan ketika pandemik Covid-19 melanda. 

“Saya berharap larian ini dapat mencapai sasaran dalam mengumpul dana seterusnya bantuan kepada anak-anak yatim di bawah tanggungjawan YKM dapat diteruskan,” katanya dalam sidang akhbar program itu di Menara Aras Raya di sini hari ini. 

Kata Ismail Sabri, larian itu terbuka kepada semua. 

Katanya, YKM menyasarkan seramai 3,000 peserta khususnya golongan belia yang gemar aktiviti larian dan gaya hidup sihat. 

“Saya mengalu-alukan tajaan dan sokongan dalam pelbagai bentuk daripada semua pihak khususnya syarikat-syarikat korporat. Setiap sumbangan layak mendapat pengecualian cukai daripada Pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN),” katanya. 

Tiga kategori dipertandingkan iaitu 21 kilometer (km) dengan potongan yuran pendaftaran RM79 dan 10km sebanyak RM59 (terbuka dan veteran) serta 5km (larian santai) RM39.

Harga promosi itu adalah bagi 2,000 peserta terawal. Harga asal bagi ketiga-tiga kategori ialah RM85, RM65 dan RM45.  Tarikh akhir pendaftaran LKM 2024 pada 7 September ini.

Dalam pada itu, katanya, YKM memerlukan kira-kira RM1.5 juta setahun untuk meneruskan bantuan kepada hampir 1,000 anak yatim dan yatim piatu. 

“Bantuan ini melalui Bantuan Kasih YKM, Bantuan Persekolahan, Bantuan Menara Gading dan Hadiah Kecemerlangan Akademik,” katanya. 

YKM ditubuhkan Ismail Sabri pada 23 Oktober 2021 di bawah Akta Pemegang Amanah (Pemerbadanan) 1952 sebagai organisasi kebajikan tidak berasaskan keuntungan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN