PETALING JAYA: Seorang wanita yang dilaporkan hilang selepas menghantar kereta sewa di Taman Universiti di sini, sejak Rabu lalu ditemukan maut dipercayai dibunuh.
Difahamkan mayat wanita berusia 25 tahun berkenaan ditemukan kira-kira pukul 6 petang dipercayai dibunuh individu yang dikenalinya.
Mengesahkan perkara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, mayat wanita tersebut ditemukan di kawasan Felda Gedangsa, Kuala Kubu Bharu dekat sini.
“Ekoran penemuan ini, polis telah menahan seorang lelaki berusia 26 tahun yang merupakan penjawat awam bagi membantu siasatan.
“Susulan itu, kita menjalankan siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan seorang wanita dilaporkan hilang selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan.
Pihak polis menerima laporan berhubung kehilangan Nur Farah Kartini yang berasal dari Sarawak yang juga bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 1.56 pagi semalam.
Kali terakhir wanita berkenaan dilihat memakai pakaian korporat berwarna biru, bertudung dan mengenakan seluar slack hitam.- UTUSAN










