Perak, PDRM juara Hoki 5 Sebelah

Perak, PDRM juara Hoki 5 Sebelah

SKUAD hoki Perak meraikan kejayaan menjuarai Kejohanan Kebangsaan Hoki 5 Sebelah selepas membenam Pahang 4-1 pada perlawanan akhir di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, hari ini. - Gambar ihsan Muhd Haziq
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bermula sebagai pasukan ‘underdog’, skuad hoki lelaki Perak akhirnya bergelar juara selepas membenam juara bertahan, Pahang 4-1 pada perlawanan akhir Kejohanan Kebangsaan Hoki 5 Sebelah di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, dekat sini, hari ini.

Apa yang lebih manis, kejayaan itu diukir dalam penyertaan sulung mereka pada kejohanan yang telahpun memasuki edisi ketiga.

Skuad bimbingan Muhammad Husaini Mohd Husin itu mempamerkan permainan mantap sejak awal permainan lagi apabila berjaya membolosi pintu gol Pahang menerusi Mohamad Ashran Hamsani pada minit ke-3 hasil gol padang.

Pahang yang diperkuatkan barisan pemain muda melipat gandakan asakan ke gawang lawan, namun, penjaga gol Perak, Adrian Andy Albert terlalu kebal untuk ditembusi.

Tiga lagi gol Perak diledakkan oleh Azmilmuizziddin Misron (minit ke-12), Mohamad Ashran (minit ke-13) dan Muhammad Fahmi Khalid (minit ke-14), manakala, gol sagu hati Pahang disempurnakan oleh Shafiq Ikhmal Daniel Suzaini pada minit ke-15.

Husaini ketika ditemui pemberita selepas perlawanan melahirkan rasa syukurnya Perak berjaya merangkul gelaran dalam penyertaan sulung mereka pada kejohanan tersebut yang telahpun memasuki edisi ketiga.

“Alhamdulillah kita dapat menjuarai hoki 5 sebelah ini, pujian patut diberi kepada pemain kerana mereka memberikan segala-galanya walaupun ada yang tercedera dan kami tidak cukup pemain.

“Kita pertama kali menyertai kejohanan ini selepas tiga edisi, persiapan pun kami hanya lakukan dua atau tiga hari sebelum kejohanan dan tidak menduga kami menang pada final,” katanya.

Sementara itu, dalam saingan wanita, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menundukkan Kuala Lumpur 3-1 dalam perlawanan akhir yang menyaksikan kali pertama skuad bimbingan Jivan Mohan itu merangkul gelaran selepas menamatkan saingan pada tahun lalu di tangga kedua tercorot.

Tiga gol PDRM dijelmakan oleh Wan Norfaiezah Md Saiuti (minit ke-3, ke-11) dan Norazlin Sumantri (minit ke-18), manakala, jaringan tunggal Kuala Lumpur disempurnakan penjaring terbanyak kejohanan, Nur Zafirah Aziz pada minit ke-12.

Kapten PDRM, Noor Hasliza Md Said ketika ditemui berkata, kejayaan merangkul gelaran pada kejohanan kebangsaan merupakan pencapaian terbesar dalam sebarang kejohanan yang pernah disertai mereka.

“Kami hadir selaku pasukan ‘underdog’ memandangkan edisi lalu kami menamatkan saingan di kedudukan kedua tercorot dan apabila sekali lagi kami menyertai kejohanan ini, kami manfaatkan peluang itu sebaik mungkin,” katanya.

Bekas pemain kebangsaan itu memberitahu, dia sendiri tidak menyangka berjaya mara sehingga ke final dan kejayaan tersebut disifatkannya sebagai satu bonus buat dirinya serta PDRM. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN