PETALING JAYA: Presiden Persatuan Memanah Kebangsaan (NAAM), Datuk Abdul Hamid Hasan trio memanah negara mampu mara ke suku akhir menjelang Sukan Olimpik Paris 2024, hujung Julai ini.
Biarpun hadir ke pentas Olimpik sebagai atlet pelapis, pencapaian tiga pemanah iaitu Ariana Nur Dania Mohamad Zairi, Nurul Azreena Mohamad Fazil dan Syaqiera Mashayikh mampu menandingi atlet terbaik dunia.
Menurut beliau, fokus utama NAAM adalah membawa trio ini ke suku akhir dan mereka mampu menjelmakan realisasi terbabit berdasarkan pencapaian mereka menjadi naib juara pada Piala Dunia Memanah Stage 3 di Antalya, Turkiye.
“Sasaran kita ke Olimpik itu sekurang-kurangnya mara ke suku akhir. Sebab kita tahu tahap atlet kita bagaimana. Suku akhir itu peringkat yang cukup besar kerana jika mereka mampu ke situ maka perjalanan untuk ke final itu lebih mudah daripada kita sangkakan.
“Prestasi mereka di Antalya cukup membanggakan. Kalau kita tengok prestasi semasa mereka tidak mustahil dan mereka mampu mencipta kejutan di Paris,” katanya.
Trio memanah wanita negara ini kurang diberi perhatian susulan pasukan lelaki lebih diutamakan namun mereka berjaya menempah tiket ke Paris apabila meloloskan diri ke separuh akhir menewaskan pasukan Columbia ketika aksi Piala Dunia yang juga menjadi aksi kelayakan di Turkiye, bulan lalu.
Sementara itu, Abdul Hamid mendedahkan badan induk berkenaan turut meminta Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk memperkenankan cadangan mereka menambah sekurang-kurangnya satu kad akreditasi di Paris kelak.
Hal ini kerana, jurulatih memanah Norizham Ishak kelihatan tidak ‘cukup’ tangan untuk mengendali tiga orang pemanah sekali gus ketika kejohanan berlangsung di lapangan Esplanade des Invalides, Paris.
“Kami mengharapkan ada tambahan satu lagi kad akreditasi kepada kem memanah negara. Kami belum memutuskan siapa yang akan dipilih ke Paris jika kad itu mendapat penambahan. Saya faham memang sukar untuk mengendali dan menguruskan tiga atlet sekali gus akan memakan masa.
“Kalau ikutkan kami mahu pilih Muhammad Marbawi Sulaiman (Ketua Jurulatih NAAM) namun beliau tidak sihat dan kami masih dalam proses memutuskan siapa bakal membantu Norizham,” jelasnya.
Trio wanita negara itu kini berkampung di Korea Selatan bagi latihan simulasi dan akan pulang ke tanah air Isnin sebelum berlepas ke Paris pada 19 Julai ini.-UTUSAN









