PARLIMEN: KPDN akui fleet card lewat dikeluarkan 

PARLIMEN: KPDN akui fleet card lewat dikeluarkan 

ARMIZAN MOHD ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengaku berlaku kelewatan pengeluaran fleet card bagi kegunaan syarikat pengangkutan darat barangan.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, bagi menangani isu berbangkit, pihaknya mengambil beberapa langkah antaranya memohon syarikat minyak melaksana penggunaan kad tunai.

Katanya, pihaknya juga akan bekerjasama rapat dengan lima syarikat minyak untuk mempercepat proses pengeluaran fleet card itu.

“Memang saya akui ada masalah dari segi kelewatan pengeluaran fleet card oleh syarikat-syarikat minyak dan kita meneruskan (sesi) libat urus dengan syarikat-syarikat minyak untuk memastikan lebih cepat dikeluarkan.

“Selain daripada membayar balik, kami dan Kementerian Kewangan juga mempermudahkannya. Kami juga meminta syarikat minyak sekarang melaksana penggunaan kad tunai sementara menunggu fleet card dikeluarkan.

“Insya-Allah kita ambil maklum kekhuatiran YB (Yang Berhormat) dan sedikit kerumitan yang dihadapi oleh pengguna disebabkan isu fleet card ini selain akan terus bekerjasama rapat dengan kelima-lima syarikat minyak ini untuk mempercepat pengeluarannya,” katanya pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) yang mahu penjelasan kementerian berhubung kelewatan pengeluaran fleet card di bawah pelaksanaan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).

Poay Tiong berkata, walaupun KPDN memberi kelulusan pada Mac dan April lalu, namun, masih banyak syarikat pengangkutan darat belum menerima fleet card.

Katanya, ia sekali gus menimbulkan masalah kepada syarikat berkenaan meskipun mereka boleh menuntut semula bayaran balik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN