PUTRAJAYA: Kementerian Digital hari ini mengesahkan sejumlah lima agensi kerajaan dan sembilan syarikat swasta yang terjejas ekoran gangguan CrowdStrike minggu lalu.
Menterinya, Gobind Singh Deo bercakap pada sidang akhbar khas di sini hari ini namun menjelaskan bahawa insiden itu bukan serangan siber tetapi hanya kelemahan sistem.
“Kita mengenal pasti agensi yang terkesan antaranya ialah Kementerian Pengangkutan, Kementerian Pendidikan serta Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah,” kata beliau.
Gangguan berkenaan dilaporkan berlaku di seluruh dunia pada Jumaat lepas sehingga mencetuskan panik pengguna yang tidak dapat berurusan untuk perkhidmatan tertentu.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan sudah menerima laporan daripada CyberSecurity Malaysia (CSM), Agensi Keselamatan Siber Negara (Nacsa) dan Digital Nasional Berhad.
Malahan turut menerima tempias gangguan itu ujar Gobind ialah Institut Kesihatan Negara dan Lembaga Zakat Negeri Kedah, namun keadaan kembali pulih secara berperingkat.
“Saya diberitahu bahawa ia berlaku susulan kelemahan perisian kemas kini CrowdStrike mengakibatkan sistem operasi Microsoft terganggu dan pengguna gagal akses,” katanya.
Beliau walau bagaimanapun enggan pula mendedahkan nama syarikat swasta yang juga terkesan sama tetapi mengakui ia meliputi sektor penerbangan, perbankan dan kesihatan.
Meskipun tidak dikategorikan sebagai serangan siber, pihak kementeriannya memandang serius isu itu kerana ia menunjukkan kelemahan teknologi boleh tercetus bila-bila masa.
Gangguan sedemikian kata Gobind, boleh menyebabkan kerosakan besar sekiranya ia berulang lagi kerana keperluan tahap tinggi kebergantungan rakyat kepada teknologi digital.
“Setakat ini kami sudah pantau dan berjaya tumpaskan beberapa cubaan pancingan oleh pihak tidak bertanggungjawab yang ceroboh data pengguna ketika insiden itu,” katanya.
Pada masa sama, beliau sudah memanggil pihak Microsoft untuk memberikan penjelasan dan firma teknologi maklumat global itu memberi jaminan kes sedemikian tidak berulang.
Menyentuh kerugian yang ditanggung pihak tertentu susulan gangguan tersebut seperti dialami AirAsia, beliau berkata, isu berkenaan perlu dipertimbangkan penyedia sistem itu.
Bahkan Gobind sendiri telah menghubungi pengurusan operator penerbangan tersebut dan meminta mereka berbincang dengan Microsoft bagi segera membuat tuntutan kes.
“Saya memberikan jaminan bahawa kerajaan akan memastikan sistem teknologi digital di Malaysia kekal berdaya tahan pada masa depan demi melindungi pengguna,” tegasnya.
Ini ujar beliau, termasuk mengarahkan pembekal perisian menambah baik prosedur ujian dan ada pelan insiden tindak balas mengambil kira strategi komunikasi pemegang taruh.
Pihak terbabit juga katanya, wajar memiliki piawaian keselamatan tinggi yang lengkap dan terjamin selain mempunyai ulasan berkala serta sentiasa mengemas kini perancangan. – UTUSAN