PETALING JAYA: Seorang lelaki ditahan selepas membuat provokasi sambil memegang parang dan memaki hamun anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ketika operasi meroboh struktur haram di Desa Pandan dekat sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 11 pagi tadi ketika pasukan penguat kuasa DBKL bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) membuat kawalan keselamatan semasa kerja perobohan.
“Seorang lelaki datang dan membuat provokasi sambil memegang sebilah parang panjang serta melibas sambil memaki hamun ke arah anggota penguat kuasa DBKL.
“Lelaki itu kemudian ditenangkan oleh beberapa orang awam yang berada di kawasan berkenaan,” katanya dalam kenyataan.
Mohd. Lazim berkata, polis menahan suspek dan merampas parang panjang digunakannya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan.
“Kes masih dalam siasatan. Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi sehingga menimbulkan kegusaran awam dan menghentikan penularan kejadian di media sosial,” katanya.
Terdahulu, tular rakaman video berdurasi 50 saat memaparkan seorang lelaki memegang parang mengamuk dan memaki hamun anggota penguat kuasa sambil ditenangkan orang ramai yang berada di lokasi. – UTUSAN










