GEORGE TOWN : Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang yang pada ketika ini berada pada paras amaran sebenarnya masih dalam keadaan terkawal.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, stok simpanan air di kedua-dua empangan itu juga mencukupi untuk kegunaan rakyat Pulau Pinang.
“Sehingga kini, kita masih pertahankan paras air di Empangan Air Itam dan kita buat penyelarasan di dua empangan itu (Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang).
“Kita ambil banyak air daripada Empangan Teluk Bahang dan dalam masa sama, kita lepaskan air banyak dari Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua kerana nak pertahankan paras air Empangan Air Itam supaya tidak turun sehingga 32 peratus,” katanya di sini, hari ini.
Semalam, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) memaklumkan, lima empangan menunjukkan baki stok simpanan air mentah semasa berada pada paras amaran iaitu kurang daripada 59.99 peratus.
Lima empangan tersebut ialah Empangan Malut dan Empangan Pedu di Kedah, masing-masing sebanyak 36.10 peratus dan 50.50 peratus; Empangan Teluk Bahang dan Empangan Air Hitam, Pulau Pinang (37 dan 56.70 peratus )serta Empangan Timah Tasoh, Perlis dengan 42.60 peratus.
Rekod bagi bacaan paras bahaya ialah baki storan sebanyak 29.99 peratus dan ke bawah, 30 peratus hingga 59.99 peratus dikategorikan sebagai amaran manakala 60 peratus dan ke atas pula adalah normal.
Menurut Kon Yeow, kaedah penyelarasan itu telah menjadikan simpanan air di Empangan Air Itam telah meningkat setiap bulan.
“Kini, Empangan Teluk Bahang walaupun ada hujan, kita ambil air banyak dari sana untuk dirawat. Selalunya mencabar, tetapi, kita cuba kawalnya,”katanya.-UTUSAN










