SELAIN terkenal sebagai bandar kopi putih, dim sum wajar menjadi pilihan pengunjung ke bandar raya Ipoh apatah lagi makanan tradisional masyarakat Cina itu yang mempunyai sijil halal semakin mudah didapati.
Syarikat berpangkalan di Ipoh, Team Some menawarkan dim sum halal untuk penggemar makanan itu menerusi perniagaan restorannya yang semakin berkembang.
Pengarah Urusan yang juga pengasas Restoran Canning Dim Sum, Ceylyn Tay berkata, Restoran Canning Dim Sum sudah membuka cawangan kedua iaitu Discovery Dim Sum by Canning pada Januari lalu, selepas cawangan pertama mereka di Taman Canning, Ipoh. Cawangan kedua pula terletak di Kawasan Perindustrian Ringan Kinta Jaya, Ipoh.

“Di kedua-dua restoran, kami menyediakan lebih 60 menu dim sum untuk disajikan. Cuma di cawangan kedua konsepnya berbeza apabila kami menawarkan Konsep 3P iaitu perniagaan, pendidikan dan pelancongan,” terangnya.
Menurutnya, selain pelanggan dapat menikmati kepelbagaian rasa dim sum, jika berminat, syarikat itu juga menyediakan bengkel pembuatan dim sum yang bertujuan membantu meningkatkan sektor pelancongan di negeri ini.
Menurut Ceylyn, kepelbagaian rasa dim sum keluaran syarikatnya menjadi faktor utama penggemar makanan itu memilih Canning Dim Sum sebagai destinasi wajib apabila datang ke Ipoh.
Ceylyn berkata, antara menu paling laris adalah dim sum bergoreng, siew mai dan pau telur masin.
“Bagi mengekalkan rasa autentik dim sum, ia perlu dibuat mengikut nisbah yang betul.
“Dim sum yang disajikan di sini adalah halal, ramuan ayam, ikan dan udang yang digunakan mestilah dicampur mengikut nisbah yang tepat,” katanya.
Ceylyn berkata, kesegaran dan kualiti bahan mentah atau ramuan perlu dijaga untuk menjamin keenakan rasa dim sum sebenar.
“Kami menggunakan bahan mentah yang berkualiti, kalau bahan mentah atau ramuan tidak berkualiti, rasanya akan mempengaruhi kualiti produk,” katanya.
Katanya, kira-kira 80 peratus pelanggannya terdiri daripada Melayu yang gemar menikmati makanan tradisi masyarakat Cina itu.
“Ada juga pelanggan Cina yang datang ke sini memberi pandangan rasa dim sum di sini sangat autentik. Rasanya sama seperti di restoran-restoran Cina cuma bahan mentahnya sahaja yang berbeza seperti ayam.
“Di sini juga kami ada pelbagai jenis dim sum seperti ayam, udang, ikan dan sayur termasuk warna dim sum itu sendiri,” katanya.

Menurut Ceylyn, kebiasaannya warna dim sum adalah putih dan kuning sahaja namun di Dim Sum Discovery by Canning dan Canning Dim Sum, terdapat pelbagai warna dan variasi dim sum.
Sementara itu, pelanggan yang hanya mahu dikenali Norashikin berkata, kepelbagaian variasi dim sum menjadikan Canning Dim Sum dan Dim Sum Discovery by Canning destinasi wajib jika datang ke Ipoh.
Katanya, rasa dim sum yang lembut serta intinya yang penuh selain menggunakan bahan-bahan mentah yang premium, membuatkan dim sum yang disajikan sangat berkualiti.
“Terdapat pelbagai variasi dim sum di sini antaranya, Butterfly Pea Gyoza yang paling saya gemari.
“Kulit luarnya yang rangup dan dalamnya yang lembut diisi padat dengan ayam cincang sekali gus sedikit rasa herba menambahkan keunikan dim sum ini. Rasanya seimbang,” katanya.
Menurutnya, selain Gyoza, menu lain seperti dumpling merupakan menu wajib.
“Rasa dumpling di sini memang berbeza dengan tempat lain, di sini memang tidak kedekut bahan. Rasa dim sum yang seimbang dicicah pula dengan sos bawang putih yang pedas merupakan kombinasi terbaik,” katanya.

Norashikin berkata, bukan itu sahaja, dim sum yang disajikan pun dalam keadaan panas tetapi jika sejuk ia juga sedap untuk dinikmati.
Sementara itu, Eksekutif Operasi Team Some, Rosnah Sitan berkata, waktu penutupan Dim Sum Discovery by Canning berbeza 30 minit dengan Canning Dim Sum iaitu pada pukul 4 petang.
“Canning Dim Sum tutup pukul 3.30 petang manakala Dim Sum Discovery tutup pukul 4 petang. Jadi pelanggan boleh menikmati makanan mereka lebih 30 minit. Jika datang pukul 3 petang pun, tidak perlu tergesa-gesa untuk makan,” katanya. – UTUSAN










