BRUSSELS: Polis Belgium menahan tujuh individu selepas membuat serbuan di 14 rumah di sini semalam, dalam satu siasatan anti-keganasan di Eropah dipercayai sebagai langkah berjaga-jaga sepanjang Kejohanan Olimpik di Paris.
Pihak berkuasa tersebut dalam satu kenyataan memaklumkan, suspek ditahan atas dakwaan cuba melancarkan serangan keganasan.
“Sasaran khusus serangan tersebut belum ditentukan. Nasib mereka sama ada didakwa atau tidak akan ditentukan hakim,” kata pejabat tersebut dalam satu kenyataan.
Serbuan rumah itu dilakukan di bandar Antwerp, Liege, Ghent dan sekitar Brussels.
Pejabat pendakwa raya bagaimanapun tidak mengulas sama ada serbuan terbabit mempunyai kaitan dengan Olimpik Paris.
Pendakwa anti-keganasan Paris juga enggan menjawab apabila ditanya sama ada mereka terlibat dalam siasatan tersebut.
Siri serangan pengganas di Paris pada 2015 yang mengorbankan 130 nyawa dan mencederakan 368 orang, sebahagian besarnya dirancang dari Belgium dengan beberapa penyerang adalah warganegara atau penduduk Belgium.
Pada tahun 2016, serangan bom di lapangan terbang Brussels mengorbankan 34 orang dan mencederakan 340 orang. – AGENSI










