SETIAP bulan, surirumah dari Hulu Langat ini tidak pernah gagal menjejakkan kaki ke Ibu Pejabat Pos Malaysia di Kompleks Dayabumi.
Kunjungannya ke firma kurier nasional itu bukanlah untuk mengepos barangan atau membayar bil, sebaliknya untuk membeli setem keluaran baharu.
Sebagai peminat filateli, Masfaridatul Afiza Mohd. Ali, 44, sentiasa memastikan setem-setem yang dikeluarkan secara bulanan itu ada dalam koleksinya.
Bahkan, ibu kepada tiga anak lelaki berusia 18 hingga 22 tahun ini sanggup datang awal pagi semata-mata untuk menjadi antara yang terawal mendapatkan setem edisi khas, peringatan dan kenang-kenangan.
Masfaridatul Afiza tertarik dengan hobi berkenaan kerana keunikan rekaan setem selain didatangkan dengan set yang merangkumi satu helaian 20 setem diikuti sampul surat hari pertama dengan setem dan tanda pembatalan, risalah dan folder.
“Saya mula kumpul setem sejak sekolah rendah lagi tetapi aktif setelah berhenti kerja sebagai kerani kewangan pada 2005.
“Saya puas hati melihat rekaannya yang cantik dan berwarna-warni. Misalnya jika melibatkan tema flora, fauna atau makanan, setem dihasilkan berbentuk orkid, kucing dan kuih baulu,” katanya kepada Seri baru-baru ini.
Hingga kini, dia sudah memiliki kira-kira 500 koleksi setem, sejak dikumpul hampir 20 tahun lalu.
Kata Masfaridatul Afiza, hobi itu dapat menambahkan lagi ilmu pengetahuannya tentang hal-hal sejarah dan fakta menarik termasuk mengenai Yang diPertuan Agong (YDPA) dan RajaRaja Melayu.
Setiap koleksi seolah-olah memberi terapi dan keseronokan kepada dirinya apabila ditatap. Mungkin ada yang tertanyatanya kenapa wanita ini hanya membeli setem itu di Kompleks Dayabumi dan tidak di pejabat pos terdekat.
Kelebihannya di sana, dia berpeluang berjumpa dan mendapatkan tandatangan pereka setem tersebut selain cop khas.
Jika terdapat setem kenangkenangan mengenai destinasi negeri, Masfaridatul Afiza tidak kisah terbang ke lokasi berkenaan semata-mata untuk memilikinya.
“Sebelum ini ada keluaran Muzium Telegraf Taiping dan saya berusaha membelinya di Perak kerana mahu mendapatkan cop pembatalan khas muzium.
“Bagi peminat lateli, tandatangan pereka dan cop batal itulah yang kami nantikan kerana ia hanya boleh diperolehi pada hari keluaran sahaja sekali gus dapat memberi tambah nilai mahal pada setiap koleksi,” katanya.
Jelas Masfaridatul Afiza, setiap kali hari keluaran, Pejabat Pos kebiasaannya akan sesak kerana diserbu golongan pengumpul seawal pagi.
Malah, katanya, segelintir peminat berbangsa Cina sanggup menunggu dan beratur sebelum Subuh lagi jika melibatkan keluaran setem yang cukup istimewa dan menjadi rebutan.
“Berdasarkan pemerhatian saya, hobi ini masih ada peminat tersendiri dengan kebanyakannya berusia 30 tahun ke atas dan orang Cina,” katanya yang juga merupakan ahli jawatankuasa kumpulan Facebook, Komuniti Hobi Kumpul Setem bagi zon Wilayah Persekutuan yang melibatkan 70 ahli berdaftar.

JUMPA BEKAS GABENOR BNM
Antara kenangan tidak dapat dilupakan Masfaridatul A za adalah berpeluang berjumpa dengan bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Zeti Akhtar Aziz.
Pertemuan itu berlangsung ketika membeli setem edisi cendekiawan di Kompleks Dayabumi, pada 29 Disember 2022.
Edisi berkenaan memaparkan Almarhum Prof. Diraja Ungku Aziz Ungku Abdul Hamid.
“Saya bersama kawan-kawan terkejut melihatnya dan tidak melepaskan peluang mendapatkan tandatangan serta bergambar.
“Rupa-rupanya Tan Sri juga adalah pengumpul setem dan apabila ada edisi ayahandanya, beliau sanggup turun padang untuk membelinya di Ibu Pejabat Pos Malaysia,” katanya.
Edisi cendekiawan itu juga merupakan antara koleksi kegemarannya selain hiasan kepala lelaki (Ogos 2022), kuih tradisional (Februari 2022), sasterawan negara (April 2016) diikuti Tun Dr. Mahathir Mohamad, limau Malaysia, Sambutan Hari Pos Antarabangsa 2018, kereta api di Sabah, buah-buahan tempatan dan ikan hiasan.

Selain itu, dia turut memiliki kira-kira 25 koleksi YDPA, Raja-Raja Melayu dan institusi diraja.
Antaranya, Sambutan 40 tahun Pemerintahan Sultan Pahang; pertabalan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah; Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan Sultan Terengganu diikuti Putera Wales, Putera Charles dan Duchess Cornwall, Camilla Parker Bowles.
BERHABIS LEBIH RM10,000
Sepanjang hampir 20 tahun mengumpul setem, lebih RM10,000 dibelanjakan untuk hobi itu.
“Minimum harga set lengkap adalah antara RM40 hingga RM50. Bagi keluaran khas seperti pertabalan YDPA misalnya, kos itu boleh mencecah RM80 ke atas.
“Biasanya kalau edisi terhad dan cantik, saya beli sekurang-kurangnya tiga set. Selain untuk simpanan sendiri, ia kemudian dijual kepada rakan-rakan pengumpul di luar Kuala Lumpur,” katanya.
Setem terbaharu yang dimiliki pada minggu lalu ialah Ulang Tahun Ke-100 Tambak Johor dan kini menantikan edisi khas pertabalan YDPA Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang bakal keluar bulan ini.
Menurut Masfaridatul Afiza, hobinya itu turut membawa pulangan kerana setiap koleksi setem mempunyai nilai tinggi jika dijual semula.
Apatah lagi jika ia melibatkan keluaran istimewa dan edisi terhad dengan cop khas dan tandatangan pereka.
Bukan itu sahaja, katanya, kepala setem dan risalah turut bernilai dalam kalangan pengumpul.
“Kepala setem biasanya dibuang tetapi saya simpan kerana ia boleh dijual semula pada harga RM1.
“Manakala risalah atau poster pun boleh dijual harga sama dan kebanyakan pembeli saya adalah dari Kelantan dan Terengganu kerana mereka tidak berpeluang mendapatkannya dalam set lengkap yang dijual di tempat masing-masing,” katanya.
PENYIMPANAN TELITI
Bagi memastikan koleksinya dalam keadaan baik dan tidak lekas rosak, Masfaridatul Afiza menyimpannya dalam plastik kedap udara sebelum dimasukkan ke dalam fail.
Langkah rapi itu penting bagi mengelak setem terkena angin hingga bertukar menjadi warna kuning.
“Kerosakan boleh menyebabkan pengumpul sukar meletakkan harga tinggi jika ia dijual semula.
“Setem juga tidak boleh dipegang dengan jari kerana kesan minyak atau peluh pada cap jari akan melekat di atasnya.
Pengendalian perlu menggunakan penyepit, malah untuk mengoyak setem pun ada caranya agar tidak rosak.
Secara keseluruhannya, dia memiliki 110 fail bagi menyimpan kesemua koleksi setem di samping 400 keping risalah atau poster berkaitan.
Malah, Masfaridatul Afiza mempunyai buku khas bagi menampal kepala setem mengikut kreativitinya.
“Walaupun set ini disertakan dengan sampul, tetapi saya akan sediakan sampul tambahan dan dihias untuk nampak lebih menarik,” katanya.
Bukan itu sahaja, sebahagian koleksi turut dibingkaikan dan digantung di dinding kediamannya.
SUMBANG PADA SEKOLAH
Bagi memupuk minat generasi muda pada aktiviti mengumpul setem, Masfaridatul Afiza sering menyumbangkan koleksinya pada Kelab Setem dan Filateli di sekolah-sekolah rendah terpilih.
Antara sekolah itu ialah di Langkawi, Kedah diikuti Johor dan Perak.
“Setakat ini, kira-kira 50 setem telah disumbangkan sebagai tanda sokongan dan penghargaan kepada minat anak-anak.
“Jika tidak berpeluang singgah ke sekolah, setem-setem itu saya poskan kepada ahli-ahli kelab,” katanya.
Dia yang sering menerima kiriman surat daripada muridmurid akan membalasnya dengan menyertakan beberapa keping setem.
Di masa hadapan, menjadi impiannya untuk membuka galeri mini setem bagi mempamerkan setiap koleksi.









