PETALING JAYA: Persekutuan Badminton Dunia (BWF) terpaksa menangguhkan undian beregu lelaki untuk saingan peringkat kumpulan Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis yang bakal membuka tirai temasya 26 Julai ini ke tarikh yang akan diumumkan kemudian.
Menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh BWF, ekoran pendengaran kes beregu Perancis, Ronan Labar-Lucas Corvee di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS), undian beregu lelaki tidak dapat disempurnakan, hari ini.
Hanya undian beregu wanita, perseorangan lelaki dan wanita serta beregu campuran telahpun dilaksanakan di Ibu Pejabat BWF dekat ibu negara, sebentar tadi.
Sehubungan itu, beregu negara yang menghuni ranking No. 5 dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik terpaksa menunggu lebih lama bagi mengetahui siapa yang menjadi lawan mereka dalam aksi peringkat kumpulan.
Labar-Corvee telah mempertikaikan keputusan BWF apabila mendakwa badan induk badminton dunia itu melakukan kesilapan dalam kiraan mata kelayakan ranking mereka ke Sukan Olimpik.
Akibat kesilapan itu, BWF telah meletakkan ranking Labar-Corvee di bawah rakan senegara mereka, Christo Popov-Toma Popov dalam ranking kelayakan.
Ekoran perbalahan tersebut, Labar-Corvee membawa kes tersebut ke CAS dan keputusan mahkamah berpihak kepada beregu itu.
CAS mengarahkan BWF supaya meminta kepada Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) untuk menyenaraikan Lobar-Corvee sebagai beregu ke-17 dan buat kali pertama, Perancis akan memiliki dua wakil dalam saingan beregu lelaki pada Sukan Olimpik.
Untuk saingan beregu lelaki, pasangan China, Liang Wei Keng-Wang Chang diletakkan sebagai pilihan pertama, manakala gandingan Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen selaku pilihan kedua.
Dua lagi beregu iaitu Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty dari India dan juara dunia dari Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae masing-masing diletakkan sebagai pilihan ketiga serta keempat.
Pilihan pertama hingga keempat bakal mengetuai saingan peringkat kumpulan dengan mengikut turutan A, B, C dan D. – UTUSAN










