PETALING JAYA: Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik berdepan cabaran getir apabila diundi bersama pasangan nombor satu dunia dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang dalam kumpulan A menjelang Sukan Olimpik Paris 2024.
Sebelum itu, majlis undian beregu lelaki ditangguhkan Jumaat lalu oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) berikutan perbicaraan di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
Aaron-Wooi Yik yang menghuni di ranking kelima dunia bertemu sebanyak lapan kali dengan gandingan China terbabit menyaksikan mereka memperoleh enam kemenangan.
Turut berada dalam kumpulan terbabit ialaha Ben Lane-Sean Vendy dari England serta pasangan Kanada, Dong Adam-Nyl Yakura.
Beregu British itu berada di ranking ke-18 dunia dan Aaron-Wooi Yik mencatat empat kemenangan daripada lima pertemuan manakala gandingan Kanada belum bertemu sebelum ini.
Kali terakhir Aaron-Wooi Yik bertemu Wei Kang-Wang Chang menerusi Piala Thomas Mei lalu yang mana menyaksikan beregu negara menang 15-21, 21-12, 21-17.
Untuk rekod, Aaron-Wooi Yik berjaya membawa pulang gangsa pada edisi di Tokyo 2020. – UTUSAN
Kumpulan A
Liang Weikeng-Wang Chang (China)
Aaron Chia-Soh Wooi Yik (Malaysia)
Ben Lane-Sean Vendy (England)
Dong Adam-Nyl Yakura (Kanada)










