Ziyad janji berikan yang terbaik di Paris

Ziyad janji berikan yang terbaik di Paris

ziyad
ZIYAD ZOLKEFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jaguh paralimpik negara, Muhammad Ziyad Zolkefli tidak mahu meletakkan harapan tinggi pada penampilannya di temasya Paralimpik Paris 2024 yang dijadual berlangsung hujung Ogos ini.

Ziyad berkata, beliau hanya menyasarkan untuk mengatasi catatan 17.43 meter (m) yang dilakukannya di Kejohanan Olahraga Para Dunia 2024 di Kobe, Jepun baru-baru ini dan berharap mampu menghadirkan kilauan pingat kepada kontingen negara.

Pemenang pingat emas dalam acara lontar peluru F20 (kecacatan intelektual) Paralimpik Rio 2016 itu berkata, ketika ini, beliau memberi tumpuan bagi memperkemaskan lagi teknik balingan selain cuba untuk mengurangkan rasa gemuruh ketika perlawanan.

“Banyak lagi yang perlu diperbaiki. Sebagai atlet, kena ada sasaran dan hari-hari kena ada sasaran dan ada perkara yang perlu diperbetulkan. Dalam latihan lain, dalam perlawanan lain (perasaan), jadi itu yang saya perlu biasakan diri dan diperbaiki lagi.

“Saya berjanji akan memberikan yang terbaik di Paris. Ini bukan sahaja untuk saya, tetapi untuk semua yang menyokong dan mendoakan kejayaan saya. Namun, saya tidak mahu terlalu berharap tinggi kerana itu boleh memberi tekanan yang berlebihan,” katanya.

Dalam penyertaan di Olimpik Tokyo 2020, Ziyad diklasifikasikan sebagai Did Not Start (DNS) susulan protes dilakukan terhadapnya oleh pasukan Ukraine yang mendakwa dirinya lewat melapor diri di bilik menunggu sebelum pertandingan berlangsung.

Kontroversi berkenaan menyaksikan atlet Ukraine, Maksym Koval diumum sebagai pemenang emas dengan lontaran 17.34m sekali gus memecahkan rekod dunia milik Muhammad Ziyad iaitu 17.29m yang dilakukan di Kejohanan Olahraga Para Dunia 2017 di London.

“Saya hanya boleh janjikan untuk buat yang terbaik, saya tak nak terlampau yakin. Saya janjikan buat yang terbaik, emas perak gangsa tak tahu lagi tetapi saya janjikan prestasi terbaik di Paris nanti,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN