UMNO sedia bantu calon PH - Ahmad Maslan

UMNO sedia bantu calon PH – Ahmad Maslan

AHMAD MASLAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH : Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, parti itu akan menyusun strategi terbaik bagi membantu calon Pakatan Harapan (PH) yang akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap tidak lama lagi.

Sehubungan itu katanya, beliau bersama seorang lagi Ahli MKT iaitu Datuk Seri Jamil Khir Baharom telah dihantar ke Sungai Bakap untuk mengadakan beberapa pertemuan berkaitan bagi memperincikan persiapan tersebut.

“UMNO akan membantu calon PH di Sungai Bakap. Ini adalah keputusan mesyuarat ‘war room’. (Naib Presiden UMNO) Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hantar saya untuk bertemu UMNO Nibong Tebal tengah hari ini manakala Datuk Seri Jamil Khir pula akan bertemu biro agama (di sana).

“Ini perbincangan awal kami. Insya-Allah, UMNO akan membantu dengan bersungguh-sungguh calon PH di Sungai Bakap,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Semalam, Pengerusi PH Pulau Pinang, Chow Kon Yeow mengumumkan bahawa calon PKR akan mewakili PH bertanding pada PRK Sungai Bakap tidak lama lagi.

Menurut beliau, keputusan itu dicapai tanpa sebarang pertikaian dan tiada mana-mana parti yang menganggotai Kerajaan Perpaduan meminta wakil daripada parti mereka untuk diletakkan sebagai calon.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Musa Sheikh Fadzir juga dikatakan berjanji untuk memberi sokongan kepada mana-mana calon Kerajaan Perpaduan pada PRK nanti bagi memastikan kemenangan berpihak kepada mereka.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN