PETALING JAYA: Skuad ragbi kebangsaan 15 sebelah (15s) dilanda kekecewaan buat kali ketiga apabila tewas kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) 62-19 pada saingan terakhir Kejohanan Ragbi Asia (ARC) 2024, sebentar tadi.
Pada aksi yang berlangsung di Stadium Sevens Dubai itu, skuad Bunga Raya 15s diuji dengan kekuatan UAE apabila Tobias Oakeley melakukan try seawal minit kedua permainan.
Pemain UAE, Jamie Gavin melengkapkan dua conversion pada minit kesembilan dan 14 untuk memberi kelebihan 19-0.
Malaysia membuktikan kemampuan apabila Syarif Nurhidayat Muzhaimey melakukan try serta conversion dilengkapkan oleh pemain naturalisasi, Lee James Chapman pada minit ke-17.
Skuad Bunga Raya sekali lagi melakukan try menerusi Mohamad Nasharuddin Isamil pada minit ke-21 untuk menjadikan kedudukan 19-12.
Bagaimanapun, UAE terus menggasak kubu skuad negara apabila melakukan tiga try dan conversion menjadikan mata 40-12 sehingga tamat separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua perlawanan, Malaysia beraksi lebih baik apabila Henry Christian Preston melakukan larian terbaik untuk melakukan try dan Chapman melengkapkan conversion pada minit ke-46 dengan 19 mata.
Skuad ragbi kebangsaan terus diserang bertubi-tubi oleh jentera serangan UAE selepas mereka melakukan empat try serta satu conversion untuk menjadi skor akhir 62-19.
Kem ragbi negara terpaksa berpuas hati dengan keputusan 62-19 sekali gus memberi UAE melonjak tangga kedua Kumpulan A dengan mengutip lapan mata secara keseluruhan.
Kekalahan ini menamatkan kempen ARC 2024 dengan Malaysia di kedudukan tercorot tanpa mengumpul sebarang mata selepas tewas kepada Korea Selatan dan Hong Kong, awal Jun lalu. – UTUSAN








