FRANKFURT: Slovakia mencipta kejutan apabila melakar kemenangan 1-0 ketika bertemu Belgium dalam aksi sulung Kumpulan E Kejohanan Eropah (Euro) di Arena Frankfurt, hari ini.
Gol tunggal perlawanan tersebut dijaringkan oleh penyerang, Ivan Schranz seawal minit ketujuh permainan berpunca daripada kesilapan pertahanan Belgium.
Itu merupakan kekalahan pertama Belgium dalam 16 perlawanan di bawah kendalian jurulatih Domenico Tedesco dan pastinya ia pahit untuk ditelan apabila dua jaringan mereka di batalkan oleh video bantuan pengadil (VAR).
Kedua-dua jaringan yang dibatalkan Belgium itu dilakukan oleh Romelu Lukaku selepas percubaan pertamanya berada dalam kedudukan ofsaid manakala yang kedua bola terkena tangan.
Lukaku turut dihidangkan beberapa peluang terbaik untuk menembusi gawang Slovakia namun percubaan penyerang Roma itu gagal disempurnakan.
Slovakia menyertai Romania di kedudukan dua teratas kumpulan selepas meraih kemenangan 3-0 ke atas Ukraine. – AGENSI










