TERUMBU karang di seluruh dunia berisiko diancam kematian akibat cuaca panas dan kering melanda ketika ini.
Laporan mendapati Malaysia bakal kehilangan antara lima hingga 10 peratus litupan hidupan marin itu.
Sebagai peneraju global dalam bidang penjagaan kecantikan, Lush merintis usaha pemulihan dan pemuliharaan terumbu karang sekitar Pulau Lang Tengah di Terengganu.
Projek berkenaan bertepatan dalam misi meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kesan perubahan iklim terhadap terumbu karang.

Pengarah Lush Malaysia, Dr. Harvinder Harchand berkata, projek berkenaan digerakkan bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Coralku sejak 2022.
Sepanjang tempoh itu, sebanyak 450 fragmen terumbu karang ditanam.
Bagi meneruskan kesinambungan usaha pemuliharaan, Lush turut berhasrat menambah jumlah fragmen sekali gus merealisasikan pembangunan Lush Reef Garden.
“Kerjasama dengan Coralku ini memperhebatkan misi kami dalam aspek kecantikan lestari, kreativiti dan inovasi. “Paling penting, kita dapat mengorak langkah memulihara batu karang terutama ketika krisis iklim yang tidak menentu,” katanya di acara Lush Malaysia Showcase baru-baru ini.
Pelbagai aktiviti menarik dan interaktif disediakan kepada pengunjung termasuk bengkel pendidikan berkaitan produk seperti bengkel membuat bom mandian menggunakan bahan-bahan semula jadi, pameran arca seni mengetengahkan isu pencemaran plastik, stesen jeli muzikal, gerai pemuliharaan Coralku dan pengalaman menyelam secara Realiti Maya (VR).
Melalui selaman itu, orang ramai berpeluang melihat keseluruhan projek penanaman batu karang Lush yang dirintis di Pulau Lang Tengah.

KITAR SEMULA BEKAS
Harvinder menggalakkan pelanggan membawa bekas kosong produk Lush bagi dikitar semula. Inisiatif menerusi kempen Bring It Back itu komitmen mengurangkan pembaziran dan memulihara sumber secara lestari.
Sebagai ganjaran, pelanggan akan mendapat baucar bernilai RM3 bagi setiap bekas dipulangkan.
“Misi ini bertujuan mendidik masyarakat tentang kesan buruk pencemaran plastik dan kepentingan mengamalkan kitar semula,” katanya.
Beliau turut menyeru lebih ramai NGO alam sekitar merebut geran Charity Pot.
Hingga kini lebih RM15,000 diperuntukkan kepada Coralku bagi pembelian peralatan untuk projek Super Corals.
Coralku adalah penerima pertama geran berkenaan.










