SINGAPURA: Prospek penyatuan semula secara aman dengan Taiwan semakin terhakis oleh pemisah Taiwan dan kuasa luar.
Menteri Pertahanan China, Dong Jun berkata, pihak pemisah berjanji untuk memastikan kemerdekaan tidak akan berlaku.
Bercakap pada persidangan Dialog Shangri-La di sini, Jun berkata, Taiwan adalah isu teras bagi China, tetapi Parti Progresif Demokratik yang memerintah Taiwan secara berperingkat-peringkat melakukan pemisahan dan bertekad untuk memadamkan identiti China.
“Para pemisah itu baru-baru ini membuat kenyataan fanatik yang menunjukkan pengkhianatan mereka terhadap bangsa Cina dan nenek moyang mereka. Mereka akan dipaku pada tiang keaiban dalam sejarah,” katanya.
Selepas ucapannya, Jun ditanya beberapa soalan oleh perwakilan, tetapi dia tetap fokus pada Taiwan.
Beliau menuduh kuasa asing campur tangan dalam isu domestik dan menggalakkan pemisah Taiwan.
Jun menambah bahawa walaupun China komited untuk penyatuan semula secara aman dengan Taiwan, Tentera Pembebasan Rakyat akan kekal sebagai kuasa yang kuat untuk menegakkan penyatuan semula negara.
“Kami akan mengambil tindakan tegas untuk mengekang kemerdekaan Taiwan dan memastikan rancangan sedemikian tidak pernah berjaya.
“Kami sangat yakin dengan keupayaan kami untuk menghalang kemerdekaan Taiwan,” katanya.
China memandang Taiwan yang ditadbir secara demokratik sebagai wilayahnya sendiri, atas bantahan keras kerajaan di Taipei dan bulan lalu mengadakan rondaan mengelilingi pulau itu sebagai protes pelantikan Presiden Taiwan, Lai Ching-te pada 20 Mei yang digelar Beijing sebagai pemisah.
Republik itu berulang kali marah dengan sokongan Amerika Syarikat untuk Taiwan, walaupun tanpa adanya hubungan diplomatik rasmi, seperti penjualan senjata.
Jun menggelar penjualan senjata itu sebagai ujian garis merah China.
“Mereka menjual banyak senjata kepada Taiwan. Tingkah laku seperti ini menghantar isyarat yang sangat salah kepada pasukan kemerdekaan Taiwan dan menjadikan mereka menjadi sangat agresif. Saya fikir kita jelas bahawa tujuan sebenar kuasa asing itu ialah menggunakan Taiwan untuk membendung China,” katanya. -REUTERS










