GEORGE TOWN : Polis Pulau Pinang telah meluluskan sebanyak tujuh permit ceramah pada hari ketiga kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap setakat ini.
Ketua Polis negeri, Datuk Hamzah Ahmad berkata, kesemua permit itu diluluskan oleh Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Superintenden Chong Boo Khim dan tiada permohonan permit yang ditolak.
Setakat ini juga katanya, tiada sebarang laporan polis diterima berkaitan kes melibatkan PRK.
“Tempoh kempen kini berbaki 12 hari lagi sebelum menjelang hari pengundian dan pihak polis menasihatkan semua pihak agar tidak menimbulkan provokasi kepada mana-mana pihak lain sepanjang tempoh berkempen.
“Selain itu, mereka juga dinasihatkan supaya tidak melakukan khianat atau merosakkan bahan-bahan kempen pilihan raya seperti ‘banner’, poster, bendera parti dan sebagainya,” katanya di sini, hari ini.
Jelas Hamzah, dalam hal ini, polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas kepada mana-mana individu atau parti politik yang melanggar undang-undang dan peraturan yang telah dikuatkuasakan.
PRK tersebut menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan (PH) iaitu bekas Pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara, Dr. Joohari Ariffin dengan Naib Yang Dipertua Pas Kawasan Nibong Tebal, Abidin Ismail yang mewakili Perikatan Nasional (PN).
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga telah menetapkan Tarikh pengundian PRK berkenaan pada 6 Julai ini dengan pengundian bermula 2 Julai ini.-UTUSAN










