FRANKFURT: Aksi merudum England pada Euro edisi kali ini menimbulkan persoalan pada penyokong serta pengkritik sekali gus mencetuskan kebimbangan bahawa pasukan itu calon ‘pulang awal’.
Pengendali England, Gareth Southgate hanya selangkah ke pusingan 16 selepas menghuni di Kumpulan C dengan empat mata biarpun gaya permainan jelas tidak menyakinkan para penyokong.
Bekas penyerang legenda England, Alan Shearer mengulas berkenaan permainan pasukan itu dan melabelkan persembahan mereka sangat teruk pada kejohanan Eropah kali ini.
“Saya tidak fikir England berdepan terlalu banyak tekanan menuju ke Euro 2024 namun mereka kini sudah merasakannya.
“Saya tidak tahu jika mereka diarahkan untuk bermain seperti ini. Mereka lesu, mereka perlu lebih bertenaga dan agresif tetapi mereka lebih banyak ditekan,” katanya.
Penyokong England turut membidas dan mengecam permainan pasukan terbabit di laman media sosial X.
Southgate bergelut kerana apa yang dia tahu adalah bola sepak ‘underdog’, jadi sebab itulah England bermain seperti pasukan Divisyen Dua di zon penyingkiran walaupun ada skuad terbaik di Euro 2024,” kata salah satu penyokong di laman X. – AGENSI








