Mekanik mengaku tak bersalah cuba bunuh tunang bekas isteri

Mekanik mengaku tak bersalah cuba bunuh tunang bekas isteri

MUHAMMAD Hafizi (memakai baju lokap) ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan Majistret di George Town, Pulau Pinang hari ini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Seorang mekanik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas
pertuduhan cuba membunuh seorang lelaki dipercayai tunang kepada bekas isterinya, pada 10 Jun lalu.

Tertuduh, Muhammad Hafizi Burhan, 33, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Ooi Sheow Wean.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Hafizi dituduh cuba membunuh seorang lelaki, Mohariez Mokhtar dengan menikamnya menggunakan pisau berukuran lima sentimeter (cm).

Perbuatan itu didakwa dilakukan pada pukul 5.50 pagi, 10 Jun lalu, bertempat di koridor Tingkat 9, Flat Taman Jade View, Jalan Bukit Gambir di sini.

Sehubungan itu, tertuduh yang juga merupakan bapa kepada dua orang anak itu didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum sehingga 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Syairah Aqilah Khalil yang mengendalikan kes itu bagaimanapun tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh dan tertuduh juga hadir tanpa diwakili mana-mana peguam. Mahkamah kemudian menetapkan 24 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes berkenaan.

Sementara itu, Muhammad Hafizi juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan ugutan jenayah terhadap bekas isterinya, Asma Wahab di Mahkamah Majistret Jenayah 3 di sini.

Mengikut pertuduhan, tertuduh pada 30 Mei lalu iaitu kira-kira pukul 7 pagi, di Flat Taman Jade View, Jalan Bukit Gambir di sini tertuduh didakwa telah melakukan ugutan jenayah dengan mengeluarkan kata-kata ‘hang buka pintu, aku nak jumpa anak, kalau tak buka, aku bunuh hang’.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya, M.Darrshinin yang mengendalikan kes itu kemudian menawarkan jaminan sebanyak RM5,000 kepada tertuduh. Bagaimanapun, Majistret Nadratun Naim Mohd. Saidi tidak membenarkan jaminan terhadap tertuduh dan menetapkan 24 Julai sebagai tarikh sebutan semula kes.

Dalam pada itu, tertuduh dijatuhi hukuman penjara selama 15 bulan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan perbuatan khianat dengan memecahkan cermin hadapan dan cermin pintu kereta milik Asma hingga menyebabkan kerugian berjumlah RM1,500.

Perbuatan itu didakwa dilakukan pada 2 April lalu kira-kira 10.10 malam di hadapan apartment Taman Jade, Jalan Bukit Gambir, di sini. Atas kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN