MEKAH: Lebih 1.5 juta umat Islam tidak melepaskan peluang untuk berdoa di Gunung Arafah walaupun ketika suhu yang melambung tinggi di Arab Saudi, semalam.
Jemaah haji dari seluruh dunia sanggup mendaki bukit berbatu setinggi 70 meter, kira-kira 20 kilometer dari Mekah, yang merupakan lokasi Nabi Muhammad SAW menyampaikan khutbah terakhirnya.
Musim panas di padang pasir dijangka mencecah 43 darjah Celcius, sekaligus mewujudkan cabaran terutamanya dalam kalangan warga emas untuk menunaikan solat dan membaca al-Quran.
“Ibadah haji mengambil masa sekurang-kurangnya lima hari untuk diselesaikan dan kebanyakannya berada di luar bangunan. Perjalanan ini tidak mudah kerana suhu sangat panas.
“Kami biasa menerima cahaya matahari (di Ghana) tetapi ia tidak begitu panas. Namun, saya akan mengambil peluang berharga ini untuk berdoa kepada Allah SWT di Arafah kerana saya memerlukan keampunan dan rahmatnya,” kata Abraman Hawa, 26, dari Ghana.
Seorang jemaah haji Pakistan, Mohammed Farouk, 60, berkata, beliau tidak berputus asa untuk melaksanakan ibadah ketika musim panas terik melanda Arab Saudi.
“Haji itu sangat penting bagi saya sebagai seorang Muslim”, katanya.
Pihak berkuasa Arab Saudi menggesa jemaah haji supaya minum banyak air dan melindungi diri mereka daripada sinaran terik matahari.
Disebabkan jemaah lelaki dilarang memakai topi ketika lengkap memakai ihram, ramai jemaah dilihat membawa payung.
Pegawai Arab Saudi memaklumkan lebih 10,000 penyakit berkaitan haba direkodkan tahun lalu, dengan 10 peratus daripadanya adalah kes strok haba.
Haji yang merupakan antara perhimpunan agama terbesar di dunia semakin terjejas akibat perubahan iklim, menurut kajian Saudi yang mengatakan suhu serantau meningkat 0.4 darjah Celcius setiap dekad.