PETALING JAYA: Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) masih belum membuat keputusan untuk menentukan atlet yang manakah bakal beraksi di pentas Sukan Olimpik Paris menggunakan tiket wildcard.
KOM perlu memilih sama ada jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi atau pelari 400 meter (m) wanita kebangsaan, Shereen Samson Vallabouy.
Presiden KOM, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata badan induk tersebut memerlukan masa sehingga minggu hadapan sebelum membuat keputusan muktamad.
“Dua hari lepas kami sudah mengadakan mesyuarat dan hari ini sekali lagi kami mengadakannya setelah menerima laporan perubatan kedua-dua atlet itu.
“Menurut laporan kesihatan tersebut, kedua-duanya layak namun pemilihan dibuat berdasarkan laporan teknikal. Keputusan dah dibuat cuma belum boleh dimaklumkan lagi.
“Masih terdapat satu atau dua perkara yang perlu dipertimbangkan dan saya tak boleh mendedahkannya. Saya akan umum pada 2 atau 3 Julai ini,” katanya ketika ditemui pemberita di Parlimen, hari ini.
Dalam pada itu, Shahidan menegaskan penangguhan untuk membuat pemilihan tersebut tidak dipengaruhi dengan pencapaian Azeem dan Shereen pada Sukan Universiti ASEAN (AUG) yang ketika ini sedang berlangsung di Surabaya-Malang, Indonesia.
“Tidak, apa pun keputusan yang dicatatkan mereka di sana tidak mempengaruhi keputusan pemilihan,” katanya lagi.
Slot wildcard hanya membenarkan atlet bertanding dalam acara 100m, 800m dan maraton. Jika Shereen dipilih dia perlu beraksi dalam acara 100m. – UTUSAN ONLINE










