MEKAH: Pengerusi Hal Ehwal Agama Masjidil Haram dan Masjid Nabawi mengumumkan khutbah Arafah akan diterjemahkan dalam 50 bahasa yang dijangka akan ditonton oleh lebih satu bilion pendengar.
Inisiatif itu diterajui oleh Penjaga Dua Masjid Suci, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud yang bermula sejak 2018, lapor Saudi Press Agency (SPA).
Projek penterjemahan khutbah Arafah itu adalah projek yang terbesar di dunia yang dilaksanakan oleh Arab Saudi.
Sejak dicetuskan enam tahun lalu, hanya lima bahasa sahaja yang ditawarkan ketika itu.
Pertambahan daripada lima kepada 50 bahasa penterjemahan ini menggambarkan kesungguhan kerajaan Arab Saudi untuk menyebarkan mesej kesederhanaan dan nilai Islam secara global.
Presiden Umum Urusan Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, Sheikh Dr. Abdulrahman Al-Sudais berkata, segala persiapan untuk khutbah Arafah sudah dilakukan bagi disiarkan secara langsung dari Masjid Namirah di tanah suci Arafah.
Jelasnya, khutbah itu akan diterjemahkan dalam bahasa Inggeris, Perancis, Parsi, Urdu, Russia, Türkiye, Punjabi, Cina, Sepanyol, Portugal, Itali, Jerman, Filipina dan banyak lagi.
Khutbah Arafah boleh disaksikan secara langsung di seluruh dunia melalui platform digital, Manarat Al-Haramain.
Jumlah mereka yang mendapat manfaat daripada terjemahan khutbah Arafah sejak 2017 hingga 2019 melebihi 35 juta orang di seluruh dunia.
KEMUNCAK HAJI
Hari Arafah adalah merupakan sebahagian daripada Rukun Haji. Ibadah ini sangat signifikan dan adalah puncak berkumpulnya seluruh jutaan jemaah haji dari segenap pelosok dunia.
Sebelum ini, Arab Saudi mengumumkan Hari Wukuf di Arafah yang menandakan kemuncak haji adalah pada 15 Jun ini.
Mahkamah Agung negara itu mengumumkan Hari Raya Aidiladha adalah pada 10 Zulhijjah, iaitu bersamaan pada Ahad, 16 Jun.
Musim haji bagi tahun ini bermula 8 Zulhijjah iaitu pada 14 Jun dan berakhir pada 18 Jun depan bersamaan 12 Zulhijjah ini.
KESIAPSIAGAAN
Dalam perkembangan lain, Menteri Pengawal Kebangsaan, Putera Abdullah Bandar memeriksa kesediaan pasukan petugas kementerian untuk musim haji kali ini.
Pemeriksaan ini adalah sebahagian daripada usaha Arab Saudi untuk memastikan keselamatan haji mengikut arahan kepemimpinan negara.
Semasa lawatan di daerah Al-Shara’i, Mekah, Putera Abdullah menyaksikan perarakan tentera di bawah tema ‘Kemudahan dan Jaminan’.
Perarakan itu menunjukkan kesediaan dan kebolehan pasukan kementerian yang bertanggungjawab menjaga keselamatan jemaah semasa perjalanan mereka.
Dalam pada itu, Pengarah Keselamatan Awam dan Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Haji, Leftenan Jeneral Mohammad Abdullah Al-Bassami mengesahkan pihaknya sudah menyediakan pelan keselamatan dan organisasi yang diperlukan bagi memastikan keselamatan dan keselesaan jemaah haji.
Pasukan keselamatan akan bertindak tegas bagi menggagalkan sebarang tindakan yang boleh menjejaskan keselamatan jemaah haji atau sebarang halangan terhadap kelancaran ibadah.