GOMA: Kebakaran di kem pelarian di timur Congo memusnahkan kira-kira 50 khemah sementara, menyebabkan puluhan keluarga hilang tempat tinggal, menurut jurucakap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Dalam kejadian kelmarin, kebakaran dipercayai berpunca ketika aktiviti memasak di sebuah kem pelarian Muganga berhampiran wilayah Goma.
“Saya cuba mengambil barang berharga (ketika kejadian), namun gagal menyelamatkan sesuatu yang paling bernilai iaitu token untuk menerima pelbagai bantuan kemanusiaan,” kata seorang pelarian, Anne Marie Nikuze, 60 yang tinggal di kem itu bersama anak dan cucunya.
“Kami menyelamatkan diri daripada serangan bom baru-baru ini dan kini berdepan insiden kebakaran pula,” kata Furaha Mulema, 42, sambil bersyukur kerana kejadian tidak berlaku pada waktu malam.
Mei lalu, kem itu mengalami serangan bom yang membunuh sekurang-kurangnya 18 nyawa dan mencederakan 32 yang lain.
Bahan letupan yang digunakan dalam serangan itu tidak dapat dikenal pasti lagi, namun kebanyakan mangsa adalah wanita dan kanak-kanak.
Konflik selama beberapa dekad di timur Congo mencetuskan salah satu krisis kemanusiaan terburuk di dunia, dengan lebih 100 kumpulan bersenjata berperang di rantau ini, kebanyakannya berebut tanah dan kawalan lombong mineral berharga.
Banyak kumpulan didakwa terlibat melakukan pembunuhan besar-besaran, rogol dan pencabulan hak asasi manusia.
Keganasan itu menyebabkan kira-kira tujuh juta orang kehilangan tempat tinggal, termasuk ribuan pelarian di kem sementara yang diserang bulan lalu.- AGENSI