PETALING JAYA: Genap sebulan sebelum Sukan Olimpik Paris 2024 membuka tirainya pakaian rasmi kontinjen Malaysia menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan peminat sukan tempatan ketika dilancarkan pada Hari Sukan Olimpik, Ahad lalu di pusat membeli belah di ibu negara.
Bendera Jalur Gemilang di dada pakaian terbabit ditukar kepada warna emas mencetuskan kemarahan kepada warga peminat sukan tanah air.
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh menerusi ciapan di laman sosial X menjelaskan pakaian rasmi terbaharu kontinjen negara yang dilancarkan Ahad lalu adalah di luar bidang kuasa Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Sukan Negara (MSN).
Bagaimanapun, setiausaha agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Mohd Nazifuddin Najib menyatakan pakaian itu direka selepas perbincangan MOM dan penaja selepas mengambil kira beberapa faktor.
Pemerhati sukan, Mohd Sadek Mustaffa berkata KBS tidak sepatutnya menyalahkan pihak MOM susulan sebagai kementerian yang mengelola dan berhak meminda hal sukan negara.
“Saya rasa tidak mungkin KBS tidak ada peranan dalam membuat keputusan ini (pakaian rasmi) kerana pada akhirnya MOM bertanya pendapat kepada mereka (KBS) juga.
“Sebagai contoh MOM mempunyai kuasa untuk membuat keputusan dalam reka bentuk pakaian, tidak mungkin KBS tidak beri pendapat terhadap perkara itu?
“Sebagai kementerian mereka seharusnya seimbang dan komunikasi menjadi nombor satu dengan pelbagai pihak yang berkepentingan. Itu peranan mereka bagi mengelak insiden seperti ini berlaku,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini. – UTUSAN










