SUCRE: Presiden Bolivia, Luis Arce menzahirkan penghargaan terhadap rakyatnya selepas berdepan cubaan rampasan kuasa daripada pihak tentera sehingga mendapat kecaman antarabangsa.
Situasi tegang itu menyaksikan pihak tentera bertindak biadab merempuh pintu Istana Presiden, lapor Reuters.
Rampasan kuasa yang diketuai oleh Komander Jeneral, Juan Jose Zuniga akhirnya berundur dari kawasan sekitar Istana Presiden, selepas Acre menyeru agar negara itu mempertahankan demokrasi.
Beliau kemudian memecat Zuniga serta Ketua Tentera laut dan Tentera Udara serta merta.
“Terima kasih rakyat Bolivia. Hidup demokrasi,” laungnya.
Pemimpin dari seluruh dunia mengecam tindakan tentera yang jelas mencabuli undang-undang negara.
Rakaman dramatik di saluran televisyen Bolivia pada Rabu menunjukkan Arce bersemuka dan bertentang mata dengan Zuniga di lorong istana.
“Saya kapten kamu, dan saya perintahkan kamu mengundurkan tentera. Saya tidak akan membenarkan sama sekali pemberontakan ini,” tegasnya.
Ketua Tentera baharu yang dilantik, Jose Wilson Sanchez mengarahkan semua tentera pulang ke berek masing-masing.
Beliau malah menegaskan tiada sesiapa yang mahu imej negara dilihat di jalanan oleh seantero dunia.
Pejabat pendakwa raya berkata, pihaknya akan membuka kertas siasatan jenayah terhadap individu di sebalik percubaan gagal rampasan kuasa terhadap kerajaan.










