WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden bakal berdebat dengan pencabarnya, Donald Trump menjelang Pilihan Raya Presiden 2024, di saluran berita CNN, pada pukul 9 malam ini (waktu tempatan).
Kedua-dua calon yang mewakili parti Demokrat dan Republikan akan bersemuka dan bertentang mata di pentas debat di Atlanta, Georgia, lima bulan sebelum sesi pengundian bermula pada 5 November depan.
Untuk rekod, kali terakhir kedua-dua pemimpin ini berdebat secara langsung adalah pada 22 Oktober 2020, ketika pilihan raya sebelum ini.
Siaran langsung debat itu akan dihoskan oleh pengacara CNN, Jake Tapper dan Dana Bash.
Debat itu akan berlangsung dalam tempoh 90 minit, dengan Biden dan Trump bersetuju untuk berdiri di podium berbanding duduk.
Mikrofon pendebat tidak akan dibunyikan melainkan ketika giliran masing-masing berhujah serta tanpa kehadiran penonton di studio.
Biden dan Trump mengusulkan debat Presiden 2024 diadakan lebih awal sebelum kempen pilihan raya kerana mereka mahu meyakinkan pengundi AS dengan hujah masing-masing, sebelum tempoh pengundian awal dibuka.
Kebiasaannya, debat Presiden bagi pusingan pertama diadakan ketika musim luruh iaitu sekitar September dan Oktober, selepas parti Republikan dan Demokrat mengadakan konvensyen untuk menamakan calon mereka secara rasmi. -AGENSI










