SIBU: Bintang golf veteran Ben Leong jelas berada pada kelas tersendiri apabila merangkul Piala Fortuner di Sarawak hari ini dengan jurang empat pukulan untuk kejuaraan sulungnya pada Jelajah Toyota.
Ben, yang mendahului dua hari pertama, cemerlang meraih lima birdie untuk lima bawah par tanpa bogey 65 dan mengakhiri saingan dengan jumlah pukulan keseluruhan 16 bawah par 194.
Ia membolehkan pemain berusia 38 tahun itu mengatasi dua pencabar terdekatnya iaitu Daeng Abdul Rahman Abdul Aziz dan Edven Ying dengan empat pukulan.
Daeng dan Edven masing-masing membidik markah seiras 66 untuk berkongsi tangga kedua.
Tempat keempat menjadi milik Khor Kheng Hwai, yang mencatat 67 untuk skor terkumpul 199 manakala Malcolm Ting melengkapkan kedudukan lima teratas setelah menutup kempennya juga dengan 67 dan catatan keseluruhan 202.
“Saya berasa gembira kerana akhirnya dapat menempah kejayaan pada Jelajah Toyota,” kata Ben, yang memiliki satu gelaran Jelajah Asia.
Ben sempat memuji bintang meningkat naik Edven, yang baharu berusia 21 tahun, selepas memberikan saingan sengit kepadanya pada kejohanan kali ini.
“Edven memilki bakat yang menakjubkan. Saya jangka dia akan mencipta impak besar di kancah golf professional tanahair kelak,” jelas Ben, yang memiliki satu gelaran Jelajah Asia.
Edven tetap mampu tersenyum sekali pun terlepas peluang untuk muncul juara Jelajah Toyota untuk kali kedua selepas pernah mencipta kejutan memenangi Piala Vios di Kelab Negara Templer Park tahun lalu.
“Saya telah memberikan yang terbaik dan saya gembira dengan prestasi keseluruhan kali ini. Mudah-mudahan saya akan dapat meneruskan aksi sebaik ini di pusingan seterusnya, Piala Hilux di Kota Kinabalu (16-18 Julai),” kata Edven.
Sementara itu, saingan wanita sekali lagi menyaksikan kehebatan bintang amatur kebangsaan untuk dua kejohanan berturut-turut.
Selepas Ng Jing Xuen menjuara Piala Vios bulan lalu, tiba giliran Mirabel Ting pula membuktikan kehebatannya apabila mengatasi pencabar-pencabarnya yang berstatus profesional dengan jurang kemenangan yang menakjubkan.
Dominasi Mirabel terserlah selepas mencatat 65 dan mata terkumpul 205 untuk jauh meninggalkan naib juara Geraldine Wong dengan 11 pukulan. – UTUSAN
Keputusan
Lelaki (10 teratas)
194: Ben Leong 63-66-65;
198: Daeng Abdul Rahman Abdul Aziz 63-69-66, Edven Ying 64-68-66;
199: Khor Kheng Hwai 67-65-67;
202: Malcolm Ting 70-65-67;
203: Paul San 68-69-66, Amir Nazrin Jailani 68-68-67, Shahrifuddin Ariffin 65-70-68;
204: Marcus Lim 67-67-70, Wilson Choo 68-66-70.
Wanita (tiga teratas)
205: Mirabel Ting (a) 72-68-65;
216: Geraldine Wong 710-72-73;
220: Michelle Koh 73-76-71.










