PARIS: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden menekankan kepentingan untuk menyokong Ukraine ketika berdepan serangan Russia yang tercetus sejak dua tahun lalu.
Beliau menyampaikan ucapan penuh semangat ketika ulang tahun ke-80 pendaratan D-Day di Normandy.
D-Day merujuk serangan besar-besaran yang dilancarkan oleh pasukan Bersekutu terdiri daripada gabungan tentera AS, United Kingdom dan Kanada terhadap Perancis yang diduduki oleh Nazi semasa Perang Dunia Kedua.
Matlamatnya adalah membebaskan Eropah Barat dari kawalan Nazi dan misi itu membawa titik perubahan penting apabila Nazi Jerman ditewaskan pada 6 Jun 1944.
Biden berkata, ulang tahun yang membawa titik perubahan dalam Perang Dunia Kedua itu membawa makna yang istimewa ketika serangan yang masih berlaku di Ukraine.
Ia juga berlangsung pada tahun yang penuh dengan pilihan raya termasuk Parlimen Eropah minggu ini dan Pilihan Raya Presiden di AS, November depan.
Pengkritik bimbang bekas Presiden AS, Donald Trump yang akan berdepan Biden sekali lagi dalam pilihan raya berkemungkinan akan menghakis sokongan AS terhadap Ukraine.
Majlis itu turut dihadiri oleh Presiden Perancis, Emmanuel Macron, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky dan veteran perang D-Day yang masih hidup. -AFP