PETALING JAYA: Malaysia yakin kembali pulih dalam kedudukan Indeks Daya Saing Dunia setelah melakukan beberapa langkah termasuk penyasaran subsidi bahan api diesel.
Kata Datuk Seri Anwar Ibrahim, kelewatan pelaksanaan penyasaran subsidi antara punca kejatuhan Malaysia dalam Indeks Daya Saing Dunia 2024.
Bagaimanapun, kata Perdana Menteri, laporan itu mengambil kira beberapa faktor yang menyumbang kepada kejatuhan Malaysia, antaranya prestasi ringgit dan pengurusan ekonomi.
“Kita tidak tegas dalam soal perbelanjaan, dalam perbelanjaan meningkat dan defisit membengkak kita masih luluskan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
“Tetapi dalam keadaan ekonomi begitu (kita) fikirkan kepentingan rakyat terpaksa diberikan,” katanya menjawab soalan Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) pada sidang Dewan Rakyat semalam.
Afnan Hamimi meminta Perdana Menteri menyatakan strategi kerajaan susulan kedudukan Malaysia jatuh ke tangga ke-34 dalam Indeks Daya Saing Dunia 2024.
Malaysia sebelum ini dilaporkan berada di kedudukan ke-34 daripada 67 negara dalam Ranking Daya Saing Global (WCR) 2024 dan keempat dalam kalangan negara di ASEAN selepas Singapura, Thailand serta Indonesia.
Malaysia jatuh tujuh anak tangga daripada kedudukan ke-27 yang dicatatkan pada tahun lalu, demikian menurut Laporan WCR yang dikeluarkan Institut Antarabangsa bagi Pembangunan Pengurusan (IMD) itu.
Sementara itu, Perdana Menteri ketika berucap pada Majlis Makan Tengah Hari Dewan Perniagaan Amerika Syarikat dan Malaysia (AMCHAM) dekat sini berkata, beliau tidak teragak-agak merombak Kabinet sekiranya Indeks Daya Saing Dunia negara pada tahun hadapan mencatatkan kedudukan tidak memuaskan.
Menurutnya, salah satu kritikan utama laporan terbabit adalah melaksanakan penyasaran subsidi yang dianggap tidak popular.
“Namun, kerajaan hari ini berbuat demikian dan saya fikir ia dengan sendirinya menyelesaikan kritikan kedua terhadap prestasi ekonomi di Malaysia serta saya harap insya-Allah tahun depan akan mencatatkan laporan yang lebih baik.
“Jika tidak, saya terpaksa membuat beberapa rombakan kecil dalam Kabinet. Hanya (itu) cara untuk menyelamatkan Perdana Menteri,” ujarnya.
Terdahulu, Anwar berkata, Malaysia perlu kekal sebagai negara perdagangan terbuka kepada pelaburan termasuk dari Amerika Syarikat (AS).
“Malaysia mesti kekal sebagai negara perdagangan terbuka kepada pelaburan.
“Oleh itu, kerjasama antara Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan Global Infrastructure Partners (GIP) kepada Malaysia adalah kritikal dan kami sebagai kerajaan akan menyokong dan begitu juga penglibatan Blackrock di negara ini.
“Saya sangat jelas di hadapan semua ahli Parlimen dan saya fikir itu menjelaskan dengan baik kedudukan kerajaan, pelaburan dari luar negara khususnya dari Amerika Syarikat,” katanya. – UTUSAN










