TRIPOLI: Aidiladha adalah Hari Raya Korban yang disambut pada 10 Zulhijjah bertepatan dengan hari ketiga ibadah haji dan berlangsung selama tiga hari.
Umat Islam di Libya melakukan persediaan menyambut Aidiladha dalam serba kekurangan kerana rakyatnya sedang bergelut dengan harga ternakan yang tinggi tanpa diduga ketika negara itu menyambut perayaan AidilAdha.
Kebiasaannya umat Islam akan membeli biri-biri, kambing atau lembu sebagai korban pada awal pagi Aidiladha dan mengagihkan daging tersebut kepada fakir miskin sebagai sedekah.
Bagaimanapun, tahun ini, harga biri-biri melonjak dengan ketara, antara 2,000 hingga 3,500 dinar bersamaan AS$300 hingga AS$500 (RM1,415-RM2,359) dalam pasaran.
Ia sekaligus menyaksikan peningkatan hampir tiga kali ganda dalam tempoh lima tahun lalu.
Pakar berkata, kenaikan harga ternakan adalah disebabkan oleh kos makanan ternakan tinggi terutamanya ketika musim kemarau di kawasan luar bandar.
Ekonomi Libya bergelut akibat konflik bersenjata dan ketidakstabilan politik selama bertahun-tahun.
Nilai matawang tempatan terus menurun berbanding matawang asing dalam pasaran.
Dalam pada itu, bank-bank Libya mengalami kekurangan jumlah matawang sehingga mengakibatkan barisan panjang ketika orang ramai menunggu untuk mengeluarkan wang mereka.
Situasi ini memburukkan lagi kesukaran yang dihadapi oleh rakyat Libya untuk membeli barangan keperluan.-AGENSI











