PETALING JAYA: Kepincangan jentera serangan Harimau Malaya dilihat ‘kritikal’ apabila beberapa pemain yang dipanggil bagi menghadapi kempen Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menghadapi masalah kecederaan.
Bagaimanapun, bekas pemain kebangsaan, Hasnizam Uzir berkata, beliau tidak melihat perkara tersebut sebagai isu besar kerana bola sepak merupakan permainan berpasukan dengan semua pemain berpeluang menjaringkan gol.
Katanya, jaringan tidak semestinya hadir menerusi sentuhan penyerang tetapi pemain tengah dan pertahanan juga boleh membantu pasukan untuk merobek gawang lawan malah ia sudah pun dibuktikan sebelum ini.
“Memang kita menghadapi kepayahan kerana tiada penyerang tetapi bukan mereka sahaja boleh menjaringkan gol. Pemain tengah dan pertahanan juga boleh jaringkan gol.
“Sebelum ini, kita pernah lihat bagaimana pertahanan Shahrul (Saad) dan Matthew (Davies) menjaringkan gol. Pemain tengah naturalisasi kita juga tinggi lampai jadi kita berpeluang untuk menjaringkan gol.
“Inilah masanya untuk kita lihat bagaimana strategi Kim Pan Gon menjaringkan gol menerusi hantaran lintang, sepakan sudut dan bola mati,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kem negara berdepan isu kecederaan apabila Syafiq Ahmad turut tidak dapat menjalani latihan bersama skuad kebangsaan berikutan kecederaan hamstring begitu juga dengan Darren Lok.
Harimau Malaya turut kehilangan khidmat Arif Aiman Hanapi dan Romel Morales yang cedera di buku lali serta Faisal Halim menjalani proses pemulihan selepas disimbah asid pada awal bulan ini.
Harimau Malaya dijadual menentang Kyrgyzstan di Bishkek pada 6 Jun ini sebelum bertemu Taiwan di Bukit Jalil (11 Jun) bagi aksi terakhir Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.- UTUSAN










