Tentera Ukraine makin goyah, bekalan peluru tidak mencukupi

Tentera Ukraine makin goyah, bekalan peluru tidak mencukupi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DONETSK: Tentera Ukraine terpaksa menahan serangan bertali arus tentera Russia disebabkan bekalan peluru yang ditunggu-tunggu dari Amerika Syarikat (AS) belum diterima.  

Situasi lebih memburuk apabila pakej bantuan artileri berjumlah AS$61 bilion (RM286 bilion) mengambil masa untuk diluluskan oleh Kongres. 

Komander senjata api Ukraine, Oleksandr Kozachenko berkata, beberapa unit artileri masih menunggu banyak bekalan peluru. 

“Unit-unit ini berada di rantau Donetsk dan anggota tentera sangat memerlukan lebih banyak peluru 155 milimeter untuk senjata besar yang digunakan. 

“Howitzer M777 yang dibekalkan oleh AS yang pernah melontar 100 peluru sehari ke arah musuh, kini makin berkurangan dan hanya tinggal 10 peluru,” katanya lapor Reuters. 

Tentera Russia melakukan serangan dengan lebih agresif sejak kebelakangan ini, ditambah dengan jumlah tentera yang lebih ramai dan senjata yang jauh lebih baik dari Ukraine. 

Situasi ini memburukkan lagi keadaan sejak konflik Russia-Ukraine tercetus lebih dua tahun lalu. 

Kolonel Pavlo Palisa yang mengendalikan Briged Mekanikal ke-93 berdekatan bandar strategik penting, Chasiv Yar, percaya Russia sedang bersiap sedia untuk melancarkan serangan lebih besar bagi menembusi pertahanan Ukraine di timur. 

Kenyataan itu selari dengan ramalan oleh Ketua Tentera Darat Ukraine baru-baru ini yang menjangkakan fasa penting dalam tempoh dua bulan akan datang kerana kelewatan Ukraine mendapatkan bekalan senjata. 

Palisa berkata, situasi ini sudah tentu akan menjadi masa yang sukar bagi tentera Ukraine dan dia yakin Rusia ingin menguasai keseluruhan wilayah industri Donbas menjelang akhir tahun ini.

Tentera Russia membuat serangan secara berterusan yang boleh mengancam beberapa bandar besar di timur termasuk Kostiantynivka, Druzhkivka, Kramatorsk dan Sloviansk yang berfungsi sebagai hab tentera utama. 

Situasi itu bakal menimbulkan ketakutan terhadap ratusan ribu rakyat Ukraine yang tinggal di bandar-bandar wilayah Donetsk, ketika musuh semakin dekat menghampiri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya