Tentera Israel kepong utara dan selatan Gaza

Tentera Israel kepong utara dan selatan Gaza

ASAP berkepul berikutan serangan Israel, di tengah-tengah konflik berterusan di antara Israel dan Hamas, di kem pelarian Jabalia utara Gaza, semalam. -REUTERS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAHERAH:  Tentera Israel bergerak jauh ke utara Gaza semalam untuk menawan semula kawasan itu daripada pejuang Hamas manakala di selatan, kereta kebal dan tentera bergerak melintasi lebuh raya ke Rafah.

Operasi ketenteraan itu meninggalkan orang awam Palestin berebut-rebut mencari keselamatan dan tempat perlindungan.

Beberapa pertempuran sengit berlaku selama berminggu-minggu ini di utara dan selatan Gaza. 

Operasi Israel di Rafah yang bersempadan dengan Mesir menutup titik persimpangan utama untuk rakyat Palestin mendapatkan bantuan. 

Kumpulan kemanusiaan berkata, keadaan ini memburukkan keadaan yang sudah teruk.

Ratusan ribu orang melarikan diri lagi. 

Kira-kira separuh daripada penduduk Gaza berlindung di Rafah selepas Israel mengarahkan pemindahan dari utara Gaza pada Oktober lalu.

Pihak berkuasa kesihatan Gaza merayu tekanan antarabangsa untuk membuka semula akses melalui sempadan selatan bagi membolehkan bantuan, bekalan perubatan dan bahan api kepada penjana kuasa dan ambulans.

“Mereka yang cedera dan sakit mengalami kematian perlahan kerana tiada rawatan dan bekalan serta mereka tidak boleh melakukan perjalanan,” katanya.

Di Jabalia di utara Gaza, sebuah kem pelarian yang luas dibina untuk penduduk Palestin dimasuki tentera Israel di mana mereka mendakwa membongkar aktiviti Hamas beberapa bulan lalu.

Penduduk melarikan diri di sepanjang jalan yang dipenuhi runtuhan dengan membawa beg barangan. 

Pegawai kesihatan berkata,mereka menemukan 20 mayat daripada serangan udara semalaman.

“Kami tidak tahu ke mana hendak pergi. Kami berpindah dari satu tempat ke tempat seterusnya. Kami berlari di jalanan.

“Saya melihatnya dengan mata kepala saya sendiri. Saya melihat kereta kebal dan jentolak itu. Ia berada di atas jalan,” kata seorang wanita, yang tidak menyatakan namanya.

Serangan udara Israel ke atas sebuah rumah di kem pelarian Al-Nuseirat di tengah Gaza membunuh sekurang-kurangnya lapan orang, kata Mahmoud Basal, jurucakap Perkhidmatan Kecemasan Awam Gaza. 

Beliau berkat, beberapa orang lain cedera dan hilang.

Angka kematian rakyat Palestin dalam perang itu kini telah melepasi 35,000, dengan 57 terbunuh dalam tempoh 24 jam yang lalu, menurut pegawai kesihatan Gaza yang angkanya tidak membezakan antara orang awam dan pejuang.

Tentera Israel sedang berusaha untuk menghapuskan Hamas. 

Seorang pegawai kanan Jabatan Negara Amerika Syarikat berkata, negaranya tidak memikirkan kemungkinan matlamat kemenangan total Israel.

Kumpulan Hamas, yang mengatakan ia komited untuk memusnahkan Israel, menyerbu Israel pada 7 Oktober lalu, membunuh 1,200 dan menjadikan lebih 250 orang tebusan, menurut penghitungan Israel.

Di Rafah, Israel meningkatkan pengeboman udara dan darat di kawasan timur, membunuh orang dalam serangan udara.

Penduduk berkata pengeboman udara dan darat Israel semakin hebat dan kereta kebal memotong jalan utama utara-selatan Salahuddin. -REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN