BEIJING: Tentera Taiwan terus menggerakkan pasukannya dan yakin dapat melindungi pulau itu selepas China memulakan latihan ‘hukuman’ selama dua hari di sekitar perairan Taiwan sebagai tindak balas kepada tindakan pemisah.
Latihan China di Selat Taiwan dan sekitar pulau yang dikuasai Taiwan yang terletak di sebelah pantai China dilakukan hanya tiga hari selepas Lai Ching-te memegang jawatan sebagai presiden baharu Taiwan.
Ching-te dibenci China kerana dianggap sebagai pemisah.
China yang menganggap Taiwan sebagai wilayahnya sendiri mengecam ucapan perasmian Ching-te Isnin lalu di mana beliau menyeru China untuk menghentikan ancamannya.
Kemudiannya, Menteri Luar China, Wang Yi menggelar Ching-te memalukan.
Ching-te bagaimanapun berulang kali menawarkan rundingan dengan China tetapi permintaan itu ditolak.
Beliau berpendirian hanya rakyat Taiwan boleh menentukan masa depan mereka dan menolak tuntutan kedaulatan China.
Komando Teater Timur Tentera Pembebasan Rakyat China (PLA) berkata, mereka memulakan latihan ketenteraan bersama melibatkan tentera, tentera laut, tentera udara dan pasukan roket, di kawasan sekitar Taiwan pada pukul 7.45 pagi.
Latihan itu dijalankan di Selat Taiwan, utara, selatan dan timur Taiwan serta kawasan di sekitar pulau Kinmen, Matsu, Wuqiu dan Dongyin yang dikawal Taiwan, kata perintah itu dalam satu kenyataan.
Kementerian Pertahanan Taiwan mengecam latihan itu dan mengatakan bahawa pihaknya menghantar pasukan ke kawasan sekitar pulau itu dan yakin dapat melindungi wilayahnya.
“Pelancaran latihan ketenteraan pada kesempatan ini bukan sahaja tidak menyumbang kepada keamanan dan kestabilan Selat Taiwan, ia juga menyerlahkan mentaliti ketenteraan (China),” kata kementerian itu.
Seorang pegawai kanan Taiwan yang bercakap tanpa mendedahkan nama memberitahu Reuters bahawa latihan itu adalah sebahagian daripada senario yang dijangkakan oleh Taiwan dan kerajaan mempunyai pemahaman menyeluruh mengenai pergerakan tentera China.
Pegawai Taiwan berkata, menjelang perasmian, mereka mengawasi pergerakan tentera China.
Menurut tentera China, latihan itu memberi tumpuan kepada rondaan kesediaan tempur udara laut bersama, serangan ketepatan ke atas sasaran utama dan operasi bersepadu di dalam dan di luar rantaian pulau untuk menguji keupayaan tempur sebenar bersama pasukan itu.
“Ini juga merupakan hukuman yang berat bagi tindakan pemisah pasukan kemerdekaan Taiwan dan amaran keras terhadap campur tangan dan provokasi oleh kuasa luar,” tambah tentera China.
Media kerajaan China menerbitkan peta zon latihan di lima kawasan di sekitar Taiwan dan pulau-pulau yang dikawal Taiwan berhampiran pantai China.
Tiada tanda penggera di Taiwan di mana orang ramai sudah lama terbiasa dengan aktiviti ketenteraan China.
Pada Ogos 2022, China melancarkan latihan ketenteraan secara langsung di sekitar Taiwan sejurus selepas lawatan yang dikecam oleh China iaitu bekas speaker Dewan Amerika Syarikat, Nancy Pelosi ke pulau itu.
Siri latihan itu yang skalanya tidak pernah berlaku sebelum ini berlangsung selama empat hari, diikuti dengan beberapa hari latihan tambahan. -CNA










