NEW DELHI: Pihak berkuasa India mengarahkan sekolah ditutup awal untuk cuti musim panas selepas suhu mencecah 47.4 darjah Celsius dengan Delhi dicengkam oleh gelombang haba yang teruk.
Pegawai bandar Delhi meminta sekolah-sekolah ditutup dengan serta-merta berikutan cuaca panas, menurut perintah kerajaan yang dipetik oleh Hindustan Times.
Biro Cuaca India memberi amaran tentang keadaan gelombang haba yang teruk minggu ini, dengan termometer mencapai kemuncak 47.4 darjah Celsius di pinggir bandar Najafgarh Delhi pada Isnin lalu, suhu paling panas di seluruh negara.
Pihak berkuasa di negeri lain termasuk Haryana, Madhya Pradesh, Punjab dan Rajasthan juga mengarahkan sekolah ditutup, lapor Indian Today.
India tidak asing dengan suhu musim panas yang membakar.
Tetapi bertahun-tahun penyelidikan saintifik mendapati perubahan iklim menyebabkan gelombang haba menjadi lebih lama, lebih kerap dan lebih sengit.
Jabatan Meteorologi India memberi amaran tentang kesan haba terhadap kesihatan terutamanya bagi bayi, warga emas dan mereka yang menghidap penyakit kronik.
Panas terik di seluruh Asia berkemungkinan 45 kali ganda disebabkan oleh perubahan iklim.
Suruhanjaya Pilihan Raya India turut membentuk pasukan petugas untuk mengkaji kesan gelombang haba sebelum mengadakan pusingan pengundian pilihan raya.
Pada masa yang sama, negeri-negeri selatan India termasuk Tamil Nadu dan Kerala dilanda hujan lebat sejak beberapa hari lalu.
Ribut teruk turut melanda beberapa bahagian negara itu minggu lalu, termasuk di ibu negara kewangan Mumbai di mana angin kencang meratakan papan iklan gergasi yang mengorbankan 16 orang dan menyebabkan berpuluh-puluh lagi terperangkap. -CNA










