Suhu harian di Terengganu dijangka sedikit turun bermula esok - Utusan Malaysia

Suhu harian di Terengganu dijangka sedikit turun bermula esok

SEORANG penduduk menggunakan payung ketika hadir untuk menunaikan solat di Masjid Binjai Rendah, Marang. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU : Suhu harian di beberapa kawasan Terengganu dijangka sedikit menurun bermula esok hingga Ahad ini dengan jangkaan hujan renyai
di beberapa lokasi.

Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET) Terengganu, Rosli Zakaria berkata, dua daerah iaitu Dungun dan Kemaman dijangka menerima taburan hujan renyai dan sederhana dalam tempoh tiga hari itu terutama pada waktu pagi.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan situasi itu tidak akan berpanjangan kerana suhu harian dijangka akan kembali tinggi bermula Isnin hingga 15 Mei depan.

“Berdasarkan data yang kita rekodkan, suhu harian sepanjang minggu ini agak menurun dengan suhu maksimum ialah 37.5 darjah Celcius di Felda Belara, Kuala Terengganu pada 2 Mei lalu berbanding suhu kemuncak 38.3 darjah Celcius seminggu sebelum itu.

“Kemudian, suhu harian terus menurun setiap hari dengan rekod terakhir hari ini ialah 36.8 darjah Celcius di lokasi tersebut,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Ketika ini, lapan kawasan di Terengganu dikenalpasti merekodkan suhu harian melebihi 35 darjah Celcius selama tiga hari berturut-turut sejak 2 Mei lalu.

Antaranya ialah Felda Tenang di daerah Besut, Felda Belara di Kuala Terengganu, Felda Chalok, Setiu dan sekitar kawasan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) di Bukit Besi, daerah Dungun.

Lokasi lain ialah di Stesen Meteorologi Tentera Udara Diraja Malaysia Gong Kedak, Besut, sekitar Jerangau, Dungun; Pengkalan Gawi di Hulu Terengganu dan Institut Pertanian Besut.

Tambahnya, orang ramai perlu lebih berhati-hati dengan mengambil langkah pencegahan untuk mengelak berlakunya insiden pembakaran terbuka ketika musim panas dan kering berlaku.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN