Speedy Tigers akhiri PSAS di kedudukan keempat

Speedy Tigers akhiri PSAS di kedudukan keempat

PEMAIN Tengah negara, Fitri Saari merampas bola daripada pemain New Zealand pada aksi penentuan tempat ketiga dan keempat Piala Sultan Azlan Shah, di Ipoh, malam tadi.-UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Skuad Speedy Tigers menanggung kekecewaan buat kali kedua apabila tewas 2-3 kepada New Zealand pada penentuan tempat ketiga dan keempat Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) 2024, sebentar tadi.

Terdahulu, Jepun menyekat hasrat Malaysia untuk mara ke pentas akhir selepas muncul juara pada tahun 2022.

Beraksi di laman sendiri, Speedy Tigers bermula garang dengan membuka tirai jaringan seawal minit ketiga menerusi gol padang oleh Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal apabila bijak menyudahkan hantaran lambung daripada Faizal Saari.

Jaringan dilakukan Azrai membolehkan dia mengumpul lapan gol keseluruhan sepanjang enam perlawanan di pentas PSAS edisi ke-30.

Namun, kelebihan dimiliki Malaysia tidak bertahan lama, apabila New Zealand bangkit dengan dua gol menerusi pukulan sudut penalti disempurnakan oleh Scott Cosslett dua minit kemudian dan Jonty Elmes (m-10).

Perlawanan lebih menarik pada suku kedua dan ketiga apabila kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dan ia menghiburkan penonton-penonton yang hadir di Stadium Azlan Shah namun tiada sebarang gol dihasilkan.

Memasuki suku keempat, Malaysia melepaskan peluang untuk menyamakan kedudukan selepas Azrai gagal menyempurnakan penalti stroke pada minit ke-39.

Sebaliknya, Black Sticks menggandakan jaringan menerusi pukulan sudut penalti disempurnakan Dane Lett pada minit ke-48.

Tersentak dengan jaringan itu, Sarjit Singh menggunakan taktikal ‘power play’ dan ia membuahkan hasil untuk gol kedua pada minit ke-59 menerusi jaringan padang oleh Fitri Saari namun kebangkitan itu sudah terlewat untuk menyekat kemenangan New Zealand.

PENYERANG Malaysia, Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal di asak pemain New Zealand David Brydon pada kejohanan hoki Piala Sultan Azlan Shah ke-30 di Stadium Azlan Shah, malam ini.-UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA

Ketua jurulatih negara, Sarjit Singh mengakui berpuas hati dengan kesungguhan dan semangat juang dipamerkan anak buahnya dalam perlawanan itu.

Jelasnya, kekalahan yang diterima juga tidak membuat beliau kecewa kerana ia merupakan proses pembentukan pasukan berkenaan.

“Kami bermula baik pada awal perlawanan tetapi kawalan mula longgar sehingga melepaskan dua gol untuk kedudukan 2-1 tetapi secara keseluruhan suku ketiga dan keempat kami menguasai permainan, pemain juga berjuang sehingga penghujung permainan.

“Sepanjang enam perlawanan di kejohanan ini, keseluruhan mereka bermain dengan baik dan ia adalah sebahagian daripada pengajaran buat kami.

“Ia (kegagalan penalti stroke) boleh berlaku kepada sesiapa tetapi dia (Azrai) telah menunjukkan permainan yang secukupnya. Macam saya cakap jika kita tidak memanfaatkan peluang, kita perlu menerimanya,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya