Perodua hidupkan impian penerus legasi wira negara

Perodua hidupkan impian penerus legasi wira negara

PARA peserta BTDP bergambar bersama Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani pada Kejohanan Badminton Malaysia Masters di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seramai 27 pelajar termasuk 18 orang daripada Program Pembangunan Bakat Badminton (BTDP) hadir memberi sokongan buat wakil Malaysia yang berentap pada Perdoua Malaysia Masters 2024 di Axiata Arena, hari ini.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan Perodua, BTDP merupakan program usahasama antara Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Perodua yang bermula sejak 2018 dan bertujuan mencungkil bakat dalam kalangan murid di peringkat sekolah rendah.

Pelajar yang hadir merupakan peserta BTDP yang diserap ke Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ), manakala sembilan daripada mereka terpilih ke sekolah berkenaan menerusi kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM).

Seorang peserta program, Muhammad Luqman Hakim Yusof Daneel, 17, berkata, impiannya ingin menjadi seperti legenda badminton negara, Datuk Rashid Sidek ataupun bekas juara dunia lima kali, Lin Dan dari China.

“Saya pernah menjalani latihan di bawah kendalian Rashid Sidek pada usia 12 tahun sebelum terpilih menyertai BTDP dan ke SSBJ, oleh itu saya ingin mencontohi beliau,” katanya yang berasal dari Selangor.

Sementara itu, seorang lagi peserta, Datu Anif Isaac Datu Asrah, 17, pula memberitahu, impiannya adalah untuk menjadi seperti bekas pemain No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei.

“Perodua banyak membantu kami terutama dalam menaja kos latihan, keperluan serta pertandingan di luar negara sekaligus membuka laluan buat kami mencipta nama sebagai pemain badminton yang terbaik,” kata Anif yang berasal dari Sabah.

Seorang lagi peserta, Dania Sofea Zaidi, 17, berasal dari Johor berkata, ini adalah peluang keduanya menyaksikan Malaysia Masters.

“Semangat juang saya semakin kuat setiap kali menyaksikan pemain negara beraksi di sini” ujarnya yang meminati jaguh perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei.

Kesemua peserta BTDP diberi peluang bertemu dengan beregu lelaki No. 2 negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani pada sesi temu mesra di ruang pameran Perodua.

Ketika ini, BTDP dengan 140 jurulatih telah melatih seramai 2,800 murid sekolah rendah di 70 buah pusat pembangunan badminton yang dikenal pasti di seluruh negara.

Rata-rata pelajar berkenaan berasal daripada keluarga berpendapatan sederhana yang mana Perodua dan KPM mengambil inisiatif mengubah kehidupan anak-anak itu dengan menghidupkan impian mereka untuk mewakili sekolah, negeri dan mungkin negara satu hari nanti. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya