Pakistan, Jepun sama kuat

Pakistan, Jepun sama kuat

PEMAIN Pakistan, Usama Bashir berjaya melepasi kawalan pertahanan Korea Selatan pada aksi ketiga Piala Sultan Azlan Shah, malam tadi.-IHSAN MHC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Selepas meledak jumlah jaringan yang banyak pada perlawanan pertama, Pakistan bagaimanapun berdepan kesukaran untuk merobek gawang Jepun dan mereka hanya mampu berkongsi satu mata pada aksi ketiga Piala Sultan Azlan Shah, sebentar tadi.

Malah, gol penyamaan itu terpaksa ditunggu Pakistan sehingga minit terakhir perlawanan untuk mengikat Jepun 1-1 sekali gus menyaksikan rekod tanpa kalah dikekalkan oleh kedua-dua pasukan di saingan PSAS edisi ke-30.

Aksi babak pertama memperlihatkan skuad bimbangan Yoshihiro Anai memberi tekanan berterusan kepada Pakistan, dengan empat pukulan sudut penalti diperolehi Jepun pada suku kedua namun ia gagal disempurnakan dalam bentuk jaringan.

Bersambung babak kedua, usaha berterusan Jepun mencari gol awal tiba pada minit ke-33 menerusi tolakan deras dilakukan Ken Nagayoshi yang menyempurnakan pukulan sudut penalti.

Aksi sengit terus dipamerkan kedua-dua pasukan apabila saling berbalas serangan selepas itu bagaimanapun gagal menjelmakan sebarang gol.

Pada permulaan suku keempat, Pakistan hampir mendapat pukulan penalti stroke tetapi selepas merujuk video, umpire perlawanan, Ben Grant membatalkan keputusan pertama dibuatnya.

Sehinggalah, Pakistan mendapat pukulan sudut penalti keempat pada minit ke-58 yang disempurnakan Rana Waheed Ashraf untuk memastikan pasukannya meraih satu mata berharga.

Untuk rekod, pertemuan pertama di peringkat antarabangsa melibatkan kedua-dua pasukan menyaksikan Pakistan membelasah Jepun 10-0 di Sukan Olimpik Rom.

Pasukan berkenaan juga telah bermain sebanyak 28 kali sejak 1960 dengan 13 kemenangan memihak kepada Pakistan manakala lapan buat Jepun dan selebihnya berakhir seri.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya