KATHMANDU: Nepal menjadi negara terbaharu mengharamkan import dan penjualan dua jenama rempah dari India yang popular selepas terdapat laporan bahawa beberapa produk mereka mengandungi racun perosak penyebab kanser.
Hong Kong dan Singapura bulan lalu mengharamkan produk dari Everest dan MDH, dua jenama yang popular di India dan dieksport ke seluruh dunia selepas ujian mengesan kehadiran etilena oksida.
Selain penggunaannya sebagai racun perosak, etilena oksida digunakan untuk mensterilkan peralatan perubatan dan sebagai agen pensterilan dalam rempah untuk mencegah penyakit yang disebabkan oleh bakteria salmonella dan E. Coli.
Menurut Agensi Perlindungan Alam Sekitar Amerika Syarikat (AS), pendedahan yang kerap kepada sebatian tidak berwarna dan tidak berbau meningkatkan risiko kanser sel darah putih.
Ketua Jabatan Teknologi Makanan dan Kawalan Kualiti Nepal, Matina Joshi Vaidya memberitahu AFP bahawa negara Himalaya itu juga memutuskan untuk menghentikan penjualan campuran rempah itu.
“Ia adalah isu kesihatan awam. Kami mengharamkan import dan penjualannya mulai Khamis lalu,” ujarnya.
“Kami tidak mempunyai sumber makmal untuk menjalankan ujian di negara ini. Larangan itu akan ditarik balik apabila pihak berkuasa India mengisytiharkannya selamat,” kata Vaidya.
Nepal mengharamkan empat produk, tiga varian yang dikeluarkan oleh MDH dan satu oleh Everest.
Everest dan MDH ialah dua jenama rempah teratas India dengan bahagian pasaran masing-masing 16 dan 10 peratus pada 2022, menurut pemantau penyelidikan pengguna, Statista.
Kedua-dua syarikat terlibat mengeluarkan kenyataan menafikan produk mereka mendatangkan bahaya kesihatan kepada pengguna selepas larangan import Singapura dan Hong Kong.
“Kami menjelaskan dan menyatakan dengan tegas bahawa dakwaan ini adalah tidak benar dan kekurangan bukti yang kukuh,” kata MDH bulan lalu di platform media sosial X.
Agensi kawal selia makanan India meminta pihak berkuasa negeri menjalankan ujian rawak terhadap produk rempah, lapor penyiar NDTV.









